Umno Kedah kena bersedia serahkan negeri kepada Pas semula, kata Mukhriz

Umno Kedah kena bersedia serahkan negeri kepada Pas semula, kata Mukhriz

Umno Kedah perlu bersedia serahkan negeri itu kepada Pas, kata Mukhriz dalam sidang media bersama Muhyidin hari ini.

Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata,  seolah-olah ada pakatan di antara pimpinan tertinggi Pas dan Umno di Kedah sekarang dan Umno negeri itu perlu bersedia menyerahkan kembali negeri itu kepada Pas.

“Saya lihat seolah-olah ada pakatan di antara pimpinan Pas dan Umno dan saya ingatkan Umno Kedah supaya bersedia untuk serahkan negeri kembali kepada Pas,”katanya.

Mukhriz berkata demikian dalam sidang media bersama Tan Sri Muhyidin Yassin hari ini selepas kedua-dua dipecat dari Umno.

“Pada hemat saya ini sebagai amaran kepada Umno Kedah agar bersiap sedialah menyerahkan kerajaan negeri Kedah kembali kepada Pas.

“Nampaknya memang menjurus ke arah itu,” katanya dalam sidang media di Rumah Kelab Alumni Universiti Malaya, Petaling Jaya petang tadi.

Menurut Adun Ayem Hitam itu, jika beliau benar-benar ingin mengkhianati parti seperti didakwa, beliau akan berusaha untuk membubarkan Dun Kedah dan Umno BN akan kecundang.

“Kalau saya benar-benar mengkhianati Barisan Nasional sewaktu saat-saat akhir saya menjadi menteri besar saya masih mempunyai pilihan iaitu mencadangkan kepada jemaah sultan kedah agar dewan undangan negeri dibubarkan dan kita boleh agak apa yang akan berlaku jika berlaku pilihan raya negeri sudah tentu BN akan kecundang,” katanya yang dipecat daripada parti Jumaat lalu.

Beliau juga berkata, Umno BN sangat hipokrasi apabila tidak mengambil apa-apa tindakan ke atas bekas menteri besar Terengganu Datuk Ahmad Said yang mengemukakan usul undi tidak percaya kepada mentari besar Ahmad Razif Abdul Rahman.

“Bila saya dipecat dari ahli Umno saya menjadi adun bebas. Majoriti BN di Kedah menjadi lima daripada enam. Masih selesa perbezaan antara pembangkang dan BN berbanding di Terengganu yang cuma beza dua majoriti.

“Kita tahu Ahmad Said telah membuat usul undi tak percaya terhadap menteri besar. Saya kira tindakan itu sebenarnya lebih serius kerana ia mampu menggugat kedudukan kerajaan negeri Barisan Nasional.

“Walaupun begitu, sampai hari ini kita tak pernah dengar satu pun kenyataan mungkin akan diambil tindakan terhadap Datuk Seri Ahmad Said.

“Mungkin kerana beza cuma dua kerusi di Terengganu berbanding kami di Kedah enam jadi kami yang berusaha keras mendapat majoriti enam itu termasuk saya sendiri, saya pula yang menjadi mangsa keadaan.

“Saya nampak ada sikit unsur hipokrasi kerana di Kedah diambil tindakan seperti itu tapi di Terengganu tak ada langsung,” katanya.

Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno Jumaat lalu memutuskan memecat Muhyiddin dan Mukhriz daripada parti itu.

Pengumuman pemecatan itu dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku presiden Umno yang berkata keputusan tersebut dicapai sebulat suara.

Katanya, tindakan kedua-dua mereka berkempen bagi pihak pembangkang sehingga menjejaskan parti, begitu dikesali dan satu perbuatan tidak bertanggungjawab.

Muhyiddin menjadi timbalan presiden Umno kedua dipecat selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.

Pas bersama Pakatan Rakyat berjaya merampas Kedah dari Umno dalam pilihan raya umum 2008 namun Umno dibawa pimpinan Mukhriz berjaya merampas balik Kedah dalam pilihan raya umum 2013.

Pakatan Rakyat kini berpecah ekoran masalah antara Pas dengan DAP. Selepas perpecahan Pas dan membentuk Amanah, Pakatan Harapan ditubuhkan di kalangan Amanah, PKR dan DAP.

 

 

COMMENTS

Wordpress (0)