Umno Kedah setuju tindakan tegas terhadap Mukhriz

Umno Kedah setuju tindakan tegas terhadap Mukhriz

 

 

 

 

 

 

 

Umno Kedah sebulat suara bersetuju tindakan tegas perlu dikenakan terhadap Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir yang telah melanggar tataetika parti dengan menyertai 'Deklarasi Rakyat' baru-baru ini.

Datuk Seri Ahmad Bashah Md HanipahPengerusinya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, penglibatan  an Sri Muhyiddin Yassin  dan Mukhriz jelas telah melanggar tataetika seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan parti kerana mereka berdua masih lagi anggota Umno yang sah.

“Kami kesal dan kecewa dengan penglibatan mereka dalam Deklarasi Rakyat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan tertutup bersama pemimpin Umno dan BN di Seri Mentaloon hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Setiausaha Umno Kedah, Datuk Rozai Shafian dan semua ketua Umno bahagian di negeri ini.

Jumaat lalu, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai tindakan menandatangani Deklarasi Rakyat menyokong penyingkiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut disertai Muhyiddin, Mukhriz, anggota pembangkang bersama-sama 50 yang lain.

Ahmad Bashah yang juga Menteri Besar Kedah berkata, sebagai mantan presiden Umno, Dr Mahathir sepatutnya faham dengan tuntutan yang perlu diasaskan kepada prinsip demokrasi berparlimen.

“Sebaliknya, beliau telah mengambil pendekatan dengan matlamat menghalalkan cara, jelas prinsip demokrasi telah dicabuli beliau yang secara tidak langsung telah menafikan hak pengundi yang memberi mandat kepada BN untuk menerajui kepimpinan negara pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu,” katanya.

Katanya walaupun pelbagai kemelut berlaku sejak kebelakangan ini, seluruh anggota UMNO Kedah berikrar untuk tetap taat dan setia kepada Najib serta bersama-sama Presiden Umno itu dalam menghadapi PRU14.

TAGS