Malaysia Dateline

Umno Kelantan sedia berdepan Pas dalam PRU15

Umno Kelantan sedia untuk berdepan dengan Pas dalam pilihan raya umum akan datang ini kerana parti itu tidak akan rugi apa-apa walaupun kalah dalam pertembungan itu nanti.

Bahkan, kata Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dalam taklimatnya kepada pemimpin akar umbi Umno negeri itu berkata, Umno akan untung jika menang.

“Kita tidak akan rugi apa-apa kalau kalah kerana kita dah biasa kalah lawan Pas ni, tetapi kalu kita menang kita dapat bonus.

“Kalah balik modal, menang untung selalu,” kata beliau dalam taklimat itu di mana video mengenainya kini tular di laman-laman sosial.

Menurut beliau, di era yang ada sekarang, Umno dengan Pas sudah lebih 30 tahun berlawan antara satu sama lain.

Umno kehilangan Kelantan dalam pilihan raya umum 1990 selepas parti serpihan Umno, Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah bergabung dengan Pas.

Dalam pilihan raya itu, Umno kalah 39-0 apabila kesemua kerusinya tewas kepada gabungan Angkatan Perpaduan Ummah itu.

“Kalau berlawan sekali lagi tidak ada masalah,” kata beliau dengan disambut tepukan gemuruh para hadirin.

Menurut beliau, dengan suasana yang ada sekarang, peluang untuk menang lebih besar untuk Umno dalam pilihan raya akan datang ini.

“Terik (kali) ini, sedap sebelah kita barangkali,” kata beliau dalam majlis taklimat itu.

Menurut beliau, Pas tidak ada isu yang boleh dibawanya dalam apa-apa ceramah mereka dalam pilihan raya umum kali ini.

“Pas ceramah kali ini dia nak kata apa? RUU 355 hilang tidak tahu entah ke mana. Menteri Undang-undang Pas, yang bila-bila masa boleh membawanya ke Parlimen.

“Ini kerana dia yang jaga Parlimen dan menentukan apa yang hendak dibawa ke Parlimen tetapi tidak berlaku,” kata beliau.

Dalam majlis itu, Jazlan juga mempermainkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang pernah mengeluarkan kenyataan yang dinamakan Amanah Haji Hadi dalam takilmat itu.

“Kita menentang Umno bukan kerana nama dia Umno. Kita menentang Umno kerana ape…kata hok serban besar tuh…” kata Jazlan mempermainkan Hadi.