Malaysia Dateline

Umno kena cari rakan yang boleh dipercayai

Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad berpendapat Umno sedang mencari rakan politik yang boleh dipercayai bagi membentuk kerajaan baharu di Perak.

Beliau berkata ‘Tragedi Langkah Perak’ menyaksikan Dewan Undangan Negeri (DUN) terdiri daripada Umno 25 kerusi, Geng Peja (10) manakala Pakatan Harapan (PH) 24 kerusi.

‘Geng Peja’ merujuk kepada 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar semasa usul undi percaya terhadap kepemimpinannya, 4 Disember lalu.

Tegas Khalid, hanya PH yang terdiri daripada PKR, AMANAH dan DAP terbukti boleh dipercayai dan penuh nilai integriti dalam kerjasama politik.

“Umno nak cari rakan yang boleh dipercayai, takkan lompat, khianat atau memasang perangkap samar.

“Di dunia politik penuh khianat, hanya PH boleh dipercayai dan penuh integriti. Fakta ini tak boleh dinafi.

“Tragisnya Umno?” kata Ahli Parlimen Shah Alam berkenaan di Twitter beliau pagi ini.

Kelmarin, Khalid menegaskan Umno perlu berbincang dengan PH bagi menyelesaikan kemelut politik di Perak.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, syarat-syarat kepada kerjasama antara Umno dan PH itu perlu diwujudkan dan dipatuhi sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tahun ini sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

DUN Perak mengandungi 59 ahli keseluruhan dan memerlukan 30 kerusi untuk majoriti mudah.

Sehingga petang semalam, tiada parti politik yang mempunyai majoriti mudah bagi membentuk Kerajaan Negeri Perak sekali gus gagal meyakinkan Sultan Nazrin untuk melantik Menteri Besar Ke-14.