Malaysia Dateline

“Umno kena tanya diri sendiri buat apa lagi dalam kerajaan?”

Ketika anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi bertanya apa kerja menteri-menteri lain buat ketika Menteri MITI menjadi kata pemutus untuk lulus syarikat yang boleh beroperasi masa lockdown, seorang rakan beliau bertanya, “Umno kena tanya diri sendiri buat apa lagi dalam kerajaan?”

Mohd Hafizul Hilmi ketika mengulas kenyataan bekas Ketua Pengarah Jasa, badan propaganda dalam kerajaan BN dahulu itu, membuat pertanyaan yang dianggap mengejutkan tetapi ada lojiknya tu.

Ini kerana, apa yang dibuat oleh Umno lagi dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) kalau hari-hari pemimpin seperti Puad dan Datuk Seri Najib Razak mengkritik kerajaan itu.

Puad dalam tulisannya hari ini bertanya, “APA KERJA MENTERI LAIN?” ketika semua kata pemutus dalam kerajaan adalah Menteri MITI iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Betul juga, kenapa MITI jadi pemutus untuk lulus syarikat yang boleh beroperasi masa lockdown?

“Menteri lain buat kerja apa? Pak Wan buat kerja Menteri apa? Rina Harun ada kerja ke tidak?
Dr Latif tidak boleh bantu ke orang di pedalaman daftar vaksin di MySejahtera?

“Menteri Agama buat apa? Yang bukan Menteri tetapi bertaraf Menteri buat apa?
Timbalan Timbalan Menteri buat kerja apa?” tanya Puad.

Beliau juga berkata, ada rakyat yang tidak kenal Timbalan Menteri.

“Timbalan Menteri Kerja Raya hanya dikenali bila dia tertidur dalam satu majlis di universiti. Baru rakyat tahu dia MP dari kawasan mana,” kata Puad.

Beliau juga berkata, kebanyakan rakyat kenal Menteri Perladangan dan Komiditi.

“Itu pun kerana ada sebab musabab,” kata beliau menyindir Datuk Dr Khairuddin Aman Razali yang sedang popular dengan Sekatan Jalan Raya di Perasing dan Lembaga Getah Malaysia (LGM) itu.

Bagi Puad, alangkah bagusnya kalau masing masing guna kemudahan kementerian mereka untuk bantu daftar vaksin orang ramai.

“Memang patut pun mereka tidak terima gaji tiga bulan,” kata beliau dalm tulisan itu kerana selama ini mereka makan gaji tanpa kerja sahaja.