Malaysia Dateline

Umno kerjasama dengan Israel, apa sikap Pas sekarang

Sikap Pas yang terus berbaik-baik dengan Umno khasnya Datuk Seri Najib Razak kini dipersoalkan apabila terdedah berita dari media Israel, kerajaan Barisan Nasional (BN) melanggan sistem perisikan dan analisis dari Israel untuk membuat intipan ke atas rakyat.

Timbalan Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah, hari ini menzahirkan simpati dan kasihannya terhadap penyokong Parti Islam Se-Malaysia itu.

Katanya, beliau sangat bersimpati dan kasihan terhadap penyokong Pas yang setia kepada pemimpin yang tidak berterus terang kepada mereka.

RAJA BAHRIN SHAH

Menurut Raja Bahrin, jalinan akrab sulit Israel dan Kerajaan BN sebelum PRU 14 kini makin jelas terdedah.

Dokumen mahkamah terkini melibatkan kes syarikat Israel – Senpai Technologies Limited, sebuah syarikat cybersecurity Yahudi dari Israel, mengesahkan hubungan tersebut.

Kes di mahkamah Israel berjalan di sebabkan masalah dalaman syarikat Senpai Technologies tersebut di mana rahsia dalaman syarikat terbongkar.

Sebelum PRU 14, Kerajaan Malaysia di bawah Najib telah membeli sistem dari Syarikat Senpai tersebut dengan harga USD1.5 juta ( RM6 juta) bagi tujuan intipan ke atas rakyat menjelang pilihanraya. Ini di nyatakan dalam perbicaraan mahkamah melibatkan syarikat Senpai.

Sistem intipan tersebut telah di gunakan ke atas rakyat Malaysia dengan bantuan syarikat dan kakitangan Israel. Kerana Israel dan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik kebiasaannya ia memerlukan kelulusan Kerajaan Zionist Israel.

Olih itu di percayai kedua dua kerajaan Israel dan Malaysia terlibat dalam hal ini, kata bekas timbalan menteri itu.

“Di mana sebenarnya kedudukan kerajaan Melayu-Islam oleh Umno dan Pas? Dahulu kata menentang Umno habis-habisan, hari ini Pas pula bersama Umno.

“Apa wajah sebenar Pas hari ini? Orang kampung dan desa ingin melihat mirip apa wajah Pas di sebalik tabir sebenarnya hari ini?

“Adakah untuk mengejar kuasa dan kedudukan dengan Umno, pemimpin Pas sanggup menggadaikan prinsip serta roh perjuangan membela umat Islam yang ditindas Israel?,” soal beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama, Raja Kamarul menyifatkan, Pas terutamanya perlu membuat pendirian jelas kepada rakyat dan penyokong mereka berkaitan pendirian (Pas) yang kelihatan sebagai tindakan hipokrit.

“Di kampung lain pendirian, dalam kerajaan yang kononnya kerajaan Melayu-Islam ini, lain pula (pendiriannya).

“Dulu Pas nafi berkerjasama dengan Umno, tetapi hari ini jelas dan nyata mereka bersama pula.

“Penyokong Pas perlu tanya pemimpin mereka tentang hukum terhadap ulama yang membisu,” katanya yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu.