Malaysia Dateline

Umno kesal KWSP sukarkan pengeluaran

Pengeluaran akaun 1 KWSP melalui program i-Sinar terus dikritik para pencarum kerana ia didakwa sukar untuk dikeluarkan kerana perlu memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan.

Presiden Umno Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata, rakyat melahirkan rasa kecewa dengan syarat-syarat yang dikenakan pihak KWSP berkenaan pengeluaran akaun 1.

Katanya, ternyata nada pengurusan KWSP amat berbeza dengan harapan positif yang diberikan oleh Menteri Kewangan ketika sesi penggulungan peringkat dasar Belanjawan Negara 2021 tempoh hari.

“Ahli-Ahli Parlimen BN dan Umno termasuk sayap-sayap Pergerakan Pemuda dan Puteri sejak dari awal tegas dan konsisten memperjuangkan isu tuntutan pengeluaran Akaun 1 KWSP yang dibangkitkan rakyat.

“Di saat rakyat sedang kesempitan dalam mendepani keadaan luar biasa pandemik, amat wajar sekali kita mempermudahkan dan menyantuni keperluan mereka,” kata beliau.

Justeru, Zahid meminta pihak KWSP untuk mempermudahkan pihak pencarum bagi mengeluarkan wang simpanan mereka tanpa mengenakan sebarang syarat dan diberikan pilihan untuk mengeluarkannya secara one-off sebanyak RM10,000 maksimum.

Sebelum ini, KWSP dalam kenyataan telah memaklumkan ahli KWSP boleh membuat permohonan pengeluaran akaun 1 secara talian bermula 21 Disember ini.

Bagaimanapun, rakyat mula mempertikaikan beberapa kriteria yang diberikan oleh KWSP antaranya ahli yang mengalami pengurangan gajiĀ  dan pendapatan sebanyak 30 peratus.

Di mana kriteria berikut perlu dipenuhi dengan menyediakan beberapa surat sokongan dan bukti yang sepatutnya kepada KWSP.

Bagi ahli KWSP kriteria itu menyukarkan sedangkan duit di dalam KWSP adalah hak mereka.