Malaysia Dateline

Umno ketandusan idea, jadikan isu komunis topik bualan PAU 2019

Isu komunis yang menjadi antara topik bualan pada Perhimpunan Agung Umno 2019 baru-baru ini, menunjukkan parti itu telah ketandusan idea dalam mencari isu.

Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah menyifatkan, Umno lebih mementingkan isu abu mayat Chin Peng yang telah lama mati berbanding menangani isu serbuk dadah yang lama melanda negeri-negeri majoriti Melayu seperti Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis.

“Setelah kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah, secara tiba-tiba abu mayat Chin Peng yang telah mati itu dijadikan isu besar kepada Malaysia.

“Kalau pengaruh komunis itu sangat serius, kenapa Kerajaan Barisan Nasional (BN)-Umno telah menghantar rombongan kunjungan balas ke acara Parti Komunis China di China seperti yang diumumkan setiausaha agung Umno.

“Malahan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Umno begitu berjinak-jinak dengan Parti Komunis Negara China yang diterima membuat kunjungan kerajaan BN-Umno di negara ini.

“Paling aneh, mengapa pada mesyuarat Umno tahun ini, barulah isu pengaruh komunis menjadi ancaman dan tidak sebelum PRU-13? Ini menunjukkan hipokrasi dan betapa ketandusan idea dan tertekannya Umno dalam mencari isu,” bidasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Raja Kamarul yang juga Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH, berkata, ketika Konvensyen Nasional AMANAH baru-baru ini, pihaknya berbahas mengenai isu yang relevan dengan keadaan semasa.

“Isu yang dibahaskan adalah seperti gejala najis dadah dalam kalangan belia, khususnya melibatkan kawasan Pantai Timur dan Utara semenanjung, iaitu kawasan besar majoriti Melayu-Islam.

“Sepatutnya wakil Umno Terengganu memberi lebih tumpuan kepada masalah serbuk dadah yang melanda majoriti besar belia Melayu, berbanding isu abu mayat Chin Peng yang telah pun mati orangnya.

“Di mana keprihatinan Umno dalam membela masalah dadah golongan Melayu di negeri-negeri yang mereka telah pernah memerintah sejak begitu lama? soal Raja Kamarul yang juga merupakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).