Malaysia Dateline

Umno king maker rupanya, bukan Pas, kata aktivis Pas Kelantan

Veteran dan aktivis Pas di peringkat pertengahan mengaku kini bahawa ‘king maker’ sebenarnya adalah Umno bukan Pas.

ABDUL FATAH HARUN

Abdul Fatah Harun, Yang Dipertua Pas Rantau Panjang berkata, sebelum ini beliau ingat Pas adalah king maker.

“Umno rupanya menjadi “KING MAKER” selama ini. Ambo ingat parti ambo he he he,” tulis Fatah sebaik sahaja nama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub diumumkan sebagai perdana menteri.

Sejak sebelum pilihan raya umum ke 14 lagi pimpinan Pas berkata parti itu adalah penentu hala tuju politik di negara ini iaitu king maker.

Pada April 2018, Pas membuka pintu untuk bergabung dengan mana-mana parti yang sedia memartabatkan Islam dan melaksanakan keadilan untuk rakyat secara keseluruhan.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas berpegang teguh kepada prinsip perjuangan dengan mengutamakan kerjasama yang mendatangkan manfaat kepada agama dan negara.

Menurutnya, Pas optimis mampu memenangi 40 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sekali gus memperbaiki pencapaian pada PRU lalu.

“Kita berharap Pas akan menjadi ‘kingmaker’, dihubungi semua pihak yang tubuh kerajaan. Itu minima yang kita nak usahakan daripada 160 kerusi.

“Itulah penyelesaian masalah dengan Islam, kerana Islam adalah untuk semua, adil untuk semua yang boleh diterima oleh semua pihak.

“Mana-mana pihak yang terima syarat-syarat yang kita tetapkan itu boleh berbincang dengan kami dan kita boleh bekerjasama,” katanya pada satu majlis di Kampung Rawai, Marang, pada 18 April 2018 lalu.