Malaysia Dateline

Umno kini dianggap isteri tua oleh Pas, kata Exco Pemuda Umno

Exco Pemuda Umno, Shahrul Nasrun (gambar atas) menegaskan, beliau tidak perlu hormat orang yang tidak berpendirian dan takut memihak seperti Pas.

“Bahasa mudah faham, saya tidak perlu hormat orang tidak berpendirian dan takut berpihak.

“Kedua-duanya Pas nak,” kata beliau dalam satu kenyataan menerusi facebook beliau hari ini.

Bagi beliau, Umno kini dianggap oleh Pas sebagai isteri tua manakala Bersatu pula adalah isteri muda.

“Jika kita ambil prinsip poligami, Umno ini isteri tua manakala PPBM adalah isteri muda.

“Dari segi keperluan mungkin boleh berlaku adil tetapi daripada segi kasih sayang.

“Agaknya Dr. Kamaruzaman sayang isteri muda atau tua?” tulis Nasrun menjawab kritikan kolumnis media Pas, Dr Kamaruzaman Yusof hari ini.

Kamaruzaman dalam tulisannya mengkritik apa yang dinamakan sebagai lima kesilapan Exco Pemuda Umno itu.

Silap pertama EXCO Pemuda Umno: Buat posting pertikai mengapa Presiden Pas tak dibawa sertai lawatan Perdana Menteri ke Timur Tengah dengan niat jelas di ruang komen untuk “menyakat Presiden Pas”.

Silap kedua: Memadamkan posting tersebut setelah ditegur oleh Pemuda Pas tetapi hanya membuat permohonan maaf di ruang komen posting lainnya setelah diminta oleh Ketua Pemuda Pas Malaysia, Khairil Nizam Khiruddin.

Silap ketiga EXCO Pemuda Umno: Tidak mengakui kesilapan dalam membuat posting tetapi menyebut pihak lain yang “salah sangka” sedangkan katanya beliau hanya “cuba bertanya”.

Silap keempat: Membuat posting baru menyerang Pas dengan menyebut beliau “tidak perlu hormat orang tidak berpendirian dan takut berpihak”.

Silap kelima: Membuat ibarat yang tidak betul dalam hubungan Pas dengan Umno dan Bersatu dengan menyebut Umno isteri tua dan Bersatu isteri muda sambil mempersoalkan keadilan poligami.

“Panjang lagi nampaknya episod EXCO Pemuda Umno yang disangkakan sudah selesai ini,” kata pensyarah UUM itu.