Malaysia Dateline

Umno kongsi matlamat AMANAH lawan Pas di Kelantan, kata Che Ibrahim

Umno perlu mengambil sikap tegas dengan Pas di Kelantan kerana sudah terang lagi bersuluh Pas bermain dua kolam untuk kepentingan kuasanya walaupun mengkhanati rakannya sendiri.

Oleh itu, Umno Kelantan patut membuat keputusan tegas untuk tidak bersama Pas kerana jelas parti itu tidak ikhlas bila berkawan sehingga digelar ‘pelacur’ oleh veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah.

Sehubungan itu, Timbalan Pengerusi AMANAH Kelantan, Che Ibrahim Mohamed menyokong penuh bahawa Pakatan Harapan (PH) dan AMANAH perlu terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak demi kepentingan rakyat Kelantan sebagaimana yang dinyatakan oleh Pengerusi PH Kelantan, Ustaz Mohamad Husain semalam.

“Sebab itu kita sokong pandangan Ustaz Mat Husain bahawa AMANAH sedia berunding dengan pelbagai pihak dengan syarat mematuhi prinsip-prinsip yang diperjuangkan AMANAH dan PH,” kata Che Ibrahim, bekas Kadhi Kota Bharu itu.

Semalam Pengerusi AMANAH Kelanan, Ustaz Mohamad Husain mengumumkan kesediaan AMANAH untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak di Kelantan termasuk Umno dengan syarat ia mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan parti itu dan PH.

Antaranya menentang rasuah dan memperjuangkan good governance atau pengurusan kerajaan yang baik.

Kelmarin, Umno Kelantan memberikan kata dua kepada Pas samada mahu bekerjasama dengan mereka atau Bersatu dalam pilihan raya umum akan datang.

Ini berikutan sikap Pas yang masih mahu bekerjasama dengan Bersatu dalam kerajaan PN yang sudah di’cerai’ Umno sedangkan sebelum ini mereka sudah menjalinkan kerjasama dalam Muafakat Nasional.

Bagi Che Ibrahim, tindakan Umno yang kini memberikan kata dua kepada Pas di Kelantan sebenarnya hanya menuruti jejak langkah yang dipelopori oleh AMANAH dan Pakatan Harapan itu sendiri.

“Kegagalan Pas mentadbir Kelantan dilihat menjadi faktor utama perlunya suatu gerakan pemulihan dan islah untuk dijalankan demi membantu rakyat dan negeri Kelantan dari terus ketinggalan dari pelbagai aspek kehidupan, tidak sebagaimana yang dinikmati oleh negeri yang lain,” kata beliau.

Oleh sebab itu AMANAH sedia bekerjasama dengan semua pihak yang sanggup bersama untuk menggantikan Pas di Kelantan seterusnya membentuk sebuah kerajaan yang lebih prihatin dan berkemampuan untuk membangunkan semula Kelantan ini, kata beliau yang juga AJK PH Kelantan.

Keretakan hubungan kerjasama di antara Umno dan Pas di Kelantan kini semakin parah apabila Pas dilihat tamak dan bermain di dua kolam dengan PPBM yang merupakan musuh utama Umno.

Mengimbau sejarah perpecahan di antara Pas dan Umno sebelum ini, Ustaz Che Ibrahim berkata, sebelum ini dua parti ini pernah mengadakan kerjasama politik yang berakhir dengan kegagalan dan perpecahan.

Kerjasama pertama yang dibuat pada 1974 itu kemudian menemui kegagalan apabila Pas anggap Umno tidak sekufu dengan mereka.

Kini, kerjasama kedua menerusi perjanjian Muafakat Nasional pula dijangka berakhir dengan kegagalan apabila sikap tamak haloba Pas tidak dapat dibendung apabila berjaya meraih kuasa bersama PPBM, hingga Umno nekad memfailkan perceraian bagi menamatkan kerjasama sia-sia itu.

Keangkuhan Pas Kelantan terserlah apabila ramai aktivis dan pimpinan Pas di negeri itu mencabar dan menghina Umno sebagai sebuah parti gagal yang tidak diperlukan, sebagai reaksi kepada permintaan Umno Kelantan yang sebelum ini menuntut penjelasan dari Pas sama ada untuk meneruskan kerjasama dengan mereka atau terus bersekongkol dengan PPBM sekaligus mengkhianati perjanjian di antara mereka dalam MN.

Kesemua kerjasama politik dengan Pas sebelum ini biasanya berakhir dengan kegagalan kerana sikap dan sombong dari Pas yang merasakan diri mereka terlalu kuat dan lebih mulia berbanding pihak yang lain.

Penguasaan Pas selama lebih 30 tahun di Kelantan juga menjadikan mereka anggap Umno sebagai pakaian pakai buang yang boleh dibuat sesuka hati mereka.