Umno kotakan janji hadir di Muktamar Pas

Umno kotakan janji hadir di Muktamar Pas

Presiden Umno Datuk Ahmad Zahid Hamidi diberi tempat bersama barisan pimpinan Pas dalam Muktamar ke-64

Tembok persengketaan antara Pas dan Umno lebih 60 tahun lalu akhirnya terlerai apabila kerjasama dua-dua parti semakin erat selepas PRU-14 lalu.

Keakraban kedua-dua parti itu semakin terserlah apabila sekumpulan pimpinan tertinggi Umno termasuk Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir ke Muktamar Pas Pusat ke-64 yang berlangsung di Terengganu hari ini.

Sekumpulan pimpinan Umno yang diketuai Ahmad Zahid tiba pada jam 8.36 pagi disambut Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan; Bendahari Dewan Ulamak, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali dan Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Manakala Ketua Wanita Umno, Datuk Dr Noraini Ahmad dan beberapa jawatankuasa Wanita Umno yang hadir lebih awal turut menyambut ketibaan Ahmad Zahid.

Turut kelihatan hadir Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahadzir Khalid dan Datuk Seri Ismail Sabri; Setiausaha Agung, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Penerangan Umno, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Pimpinan MIC turut hadir ialah Timbalan Presiden, Datuk Seri SK Devamany AJK Pusat, Datuk Seri M Saravanan.

Zahid mula-mula menerima undangan ke muktamar ketika berkempen untuk PAS dalam pilihan raya kecil Seri Setia.

Selepas menerima jemputan, Zahid berjanji untuk membawa kepimpinan tertinggi Umno, termasuk timbalannya, ke muktamar PAS tahunan itu.

Pada hari Khamis, Ketua Pemuda Umno Datuk Asyraf Wajdi juga menghadiri perasmian muktamar Dewan Pemuda PAS.

 

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote