Malaysia Dateline

Umno lakukan gencatan politik selepas kes COVID-19 melonjak

Umno memutuskan untuk melaksanakan gencatan politik selepas negara dilanda gelombang ketiga penularan wabak Covid-19 yang mencatat peningkatan kes sehingga 109 peratus dalam tempoh sebulan.

Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, gencatan dilakukan bagi menumpukan usaha membantu rakyat yang sedang dihimpit kesusahan dan kegelisahan akibat hambatan ekonomi.

Ahmad Zahid juga mengarahkan agar semua pimpinan parti itu memberikan sepenuh tumpuan untuk meringankan beban rakyat.

“Umno menekankan untuk mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam memfokuskan agenda membantu rakyat dan negara mendepani pandemik Covid-19 serta kegawatan ekonomi.

“Mengarahkan semua kepimpinan parti yang berada dalam kabinet ketika ini memberikan sepenuh penumpuan kepada usaha untuk membantu rakyat dan meringankan beban yang ditanggung mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid juga menegaskan, kerjasama semua parti dalam kerajaan harus diperkasakan bagi menjamin kestabilan politik di saat negara menghadapi ancaman Covid-19 dan ketidaktentuan ekonomi negara.

Terdahulu, saranan agar ahli-ahli Parlimen untuk melakukan gencatan politik mendapat perhatian beberapa pihak termasuk pemuda Umno sendiri yang menganggap perkara itu wajar dilakukan.

Bagaimanapun Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menyarankan agar semua pihak mengambil sikap berhati-hati dengan cadangan gencatan politik.

Menerusi hantaran Facebooknya semalam, Mujahid menganggap cadangan itu secara zahirnya kelihatan jujur dan mudah mendapat simpati.

Pada hakikatnya beliau berkata, ia adalah agenda untuk Muhyiddin menutup kelemahan pentadbirannya mengendalikan krisis Covid-19, selain menggunakan pandemik itu sebagai talian hayat untuk kekal berkuasa.