Umno layu, lemah, longlai tidak boleh dipulihkan, kata Muhyiddin

Umno layu, lemah, longlai tidak boleh dipulihkan, kata Muhyiddin

Umno parti keramat orang Melayu sejak 70 tahun lalu kini dilihat sebagai sebuah parti yang tidak boleh dipulihkan lagi kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau ketika berucap pada Majlis Pelancaran parti itu di hadapan 6,000 hadirin malam tadi menjelaskan, Umno perlu dijadikan pengajaran kepada parti pembangkang.

“Umno sedang berada di hujung nyawa. Roh danjiwa perjuangan Umno yang memberi nafas kepada parti itu telah lama berkubur.

“Apa yang ada hanya jasad Umno yang layu,lemah, dan longlai. Umno takan pulih lagi dari sakitnya yang tenat.

“Hanya tunggu masa ditalkinkan sahaja.

“Ini semua gara-gara penyakit rasuah politik yang merebak dalam parti iti daripada kepala hingga ke ekor.

“Saya sebutkan perihal Umno supaya jadi pengajaran kepada kita. Supaya kita ambil iktibar daripada kesilapan yang dibuat dan kita tidak melakukan perkara sama,” ujarnya.

Tegasnya lagi, peri pentingnya parti pembangkang bersama memulakan langkah yang betul.

“Jangan kita mulakan dengan langkah yang silap. Jangan kita ulangi kesalahan yang dilakukan oleh parti musuh.

“Ini kerana rakyat memerhati.Rakyat menilai. Mereka mahu lihat PPBM bawa budaya dan harapan politik baharu,” ujar bekas Timbalan Presiden Umno ini yang dipecat dari jawatannya oleh Ahli Majlis Tertinggi Umno pada 2016 lalu.

Bercakap berkaitan parti dipimpinnya Muhyiddin berkata rakyat mahu melihat apa yang boleh ditawarkan parti itu kepada penyokongnya.

“Jika parti kita diberi mandat bersama parti rakan perkara utama yang akan kita lakukan menangani masalah rakyat.

“Kita akan kaji semula dasar yang membebankan rakyat termasuk GST, mengawal kenaikan kos sara hidup, memulihkan ekonomi negara,elak ketirisan wang awam dan berusaha tambah pendapatan rakyat,”ujarnya.

Ahli Parlimen Pagoh ini juga berkata, perlunya kuasa perdana menteri dihadkan.

“Kita tidak boleh ada seorang perdana menteri yang amat berkuasa hinggakan dia menyalahgunakan kuasa.

“Kuasa perdana menteri mesti digunakan untuk memelihara kepentingan rakyat bulan menjaga kepentingan diri sendiri,” ujarnya.

Justeru beliau berkata akan mengadakan perbincangan dengan pimpinan Pakatan Harapan untuk menghadkan kuasa perdana menteri ujarnya, dengan tujuan untuk meningkatkan integriti dan akauntabiliti perdana menteri dan ahli kabinet.

“Namun sebelum sampai ke situ ada satu perkara penting yang perlu dilakukan parti pembangkang.

“Kita mesti meraih keyakinan rakyat mengembeling seluruh kekuatan parti secara bersama untuk menang dalam pilihan raya.

“Jangan tunggu lama untuk bentuk kerjasama. Kita mesti serius kerana masa tidak menyebelahi kita. Rakyat nak lihat kesatuan kita.

“Ini penting untuk memberi mesej kepada rakyat bahawa parti pembangkang bersatu di dalam satu matlamat untuk membentuk Barisan Rakyat untuk menentang Barisan Nasional ,” ujarnya yang mendapat tepukan gemuruh dan sorakan hadirin.

Beliau akhiri ucapannya dengan laungan “Bersatu” sebanyak tiga kali diikuti persembahan  koir menyanyikan lagu parti ‘Perjuang Kita’ disusuli dengan ‘Bahtera Merdeka’ yang turut dinyanyikan oleh Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mengakhiri majlis pelancaran parti baharu dari Umno ini.

TAGS