Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 telah meluluskan usul bahawa tidak akan ada kerjasama antara parti itu dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Bagaimanapun, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak menyatakan tempoh bila pemimpin partinya akan diarahkan untuk menarik diri dari pentadbiran Muhyiddin.
“Para perwakilan telah memberi saya mandat untuk menarik diri bila-bila masa saja jika mereka (kerajaan) tidak menunjukkan kesediaan untuk memanggil pilihan raya dalam masa terdekat.
“Jika ini terjadi, maka dewan tertinggi, terutama menteri dan timbalan menteri dan Ahli Parlimen akan mematuhi 100 peratus arahan untuk menarik diri,” kata Zahid dalam ucapan penggulungannya semalam.
Sementara itu di Twitter, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkongsi Ucapan Dasar Presiden yang meluluskan usul memutuskan kerjasama dengan Bersatu selepas dicadangkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad.
Ucapan itu juga menyatakan PAU 2020 bersetuju dengan gesaan akar umbi dan kepimpinan supaya PRU-15 diadakan segera bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil untuk menjamin kemakmuran negara kembali di landasan dan kehidupan rakyat disejahterakan.