Umno mahu kerajaan haramkan pertubuhan rasis, Dong Zong

Umno mahu kerajaan haramkan pertubuhan rasis, Dong Zong

Umno hari ini menggesa kerajaan untuk segera mengharamkan Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) demi menyelamatkan Malaysia daripada terjerumus ke dalam senarai negara tidak selamat apabila berlaku pertembungan etnik, kaum dan agama.

Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana, Dong Zong dengan sengaja terus mengaitkan isu Jawi dan agama Islam malah, dengan lantang menentang keputusan kerajaan.

Beliau turut mengingatkan supaya pertubuhan itu tidak menjadi pelampau Cina yang akhirnya membakar kemarahan Orang Melayu Islam sehingga boleh mengundang perpecahan antara kaum.

“Saya ingin memberikan peringatan kepada Dong Zong bahawa mereka perlu ingat dan sedar di mana mereka berpijak dan langit mana yang mereka sedang junjung hari ini.

“Jangan dek kerana sikap Dong Zong terlalu lantang ini bakal mengundang semula kepada pertembungan kaum yang pernah berlaku pada 13 Mei 1969 satu ketika dahulu. Dong Zong jangan jadi ‘Pelampau Cina’.

“Dalam soal Seni Khat dan Tulisan Jawi ini, walau Tun Dr Mahathir telah buat keputusan yang amat jelas seperti “Keputusan mengenai Khat adalah muktamad”, seharusnya tidak lagi timbul pertikaian dari Dong Zong serta Ahli-ahli Parlimen dan Adun DAP kerana ia merupakan keputusan kerajaan yang diwakili juga oleh DAP,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kenyataan sama, Ismail mempersoalkan petisyen yang digerakkan oleh pertubuhan gabungan Cina itu yang dilihat sengaja mengaitkan isu jawi dengan agama, sedangkan katanya, Jawi hanya tulisan arab dan Khat pula merupakan seni tulisan.

Beliau turut mengingatkan tentang pelbagai tuntutan yang mempertikaikan hak keistimewaan Orang Melayu Bumiputera Islam yang cuba dihapuskan untuk melenyapkan hak istimewa Orang Melayu.

Malah, beliau turut menyifatkan tuntutan demi tuntutan Dong Zong seolah-olah bukan lagi satu perkara yang harus diberi pertimbangan, tetapi satu perkara yang perlu diutamakan dalam kerajaan hari ini.

“Untuk kepentingan mereka semuanya lulus dan ‘OK’ tetapi apabila sampai kepada Orang Melayu Islam dalam bab Tulisan Khat pun mereka menentang dan bersuara lantang dengan pelbagai cara.

“Setiap perkara yang berkaitan Orang Melayu menjadi masalah kepada Dong Zong. Apakah Dong Zong ini Pelampau Cina yang menjadi ‘Tangan Jahat’ bagi pihak Bangsa DAP?

“Dong Zong harus menghormati bangsa majoriti (Melayu) di Malaysia dan teras budayanya juga adalah Melayu. Pasti api kebangkitan Melayu Islam bisa saja membakar setiap kulit chauvinist yang tidak sedar di mana bumi dipijak dan langit mana yang mereka junjung,” ujarnya.