Malaysia Dateline

Umno mahu kerajaan PN di Perak dipertahan

Umno telah memutuskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak yang terdiri daripada parti itu, Pas dan Bersatu perlu terus dipertahan.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata mesyuarat Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno malam ini yang dipengerusikan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membincangkan kemelut Menteri Besar di Perak.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata demikian dalam kenyataan media di lobi Menara Dato’ Onn di ibu negara selepas mesyuarat MKT Umno malam ini.

Walau bagaimanapun, kenyataan berkenaan tidak menyebut mengenai pencalonan Menteri Besar Perak yang baharu.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad yang sebelum ini disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar turut hadir pada mesyuarat yang berlangsung kira-kira dua jam itu.

“Esok, esok…esok,” jawab Saarani apabila ditanya mengenai hasil mesyuarat dan keputusan MKT Umno mengenai calon Menteri Besar.

Beberapa ahli MKT juga enggan memberi sebarang ulasan mengenai mesyuarat tersebut.

Dalam hal berkaitan, Ahmad Zahid esok pagi akan menghadap dan menyembah maklum nama calon Menteri Besar dari Umno untuk pertimbangan Sultan Nazrin.