Malaysia Dateline

Umno mahu kerajaan PN di Perak kekal, ubah MB sahaja

Umno berpendirian bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak perlu dikekalkan disebalik desas desus Kabinet negeri itu bakal dibubarkan selepas Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Faizal Azumu gagal memperoleh sokongan majoriti dalam undi percaya.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kesemua barisan Exco kerajaan negeri juga mesti diteruskan dan dikekalkan.

“Umno juga berpendirian bahawa PPBM dan Pas harus bersama mendokong Kerajaan PN Negeri Perak.

“Undi percaya yang berlaku pada hari ini hanya melibatkan jawatan Menteri Besar Perak sahaja tanpa mengubah status kerajaan Negeri,” katanya lagi.

Terdahulu, Ahmad Faizal berkata beliau tidak akan mengusulkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bagi menyembah maklum kedudukan semasa kerajaan negeri Perak.

Pentadbiran Ahmad Faizal tumbang selepas gagal memperoleh sokongan majoriti wakil rakyat di dalam dewan.

Dalam undian yang dipengerusikan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Mohamad Zahir Abdul Khalid, hanya 10 ADUN menyokong kepimpinan Faizal, manakala 48 yang lain menolak dan satu undi rosak. .