Malaysia Dateline

Umno mahu korbankan keselamatan rakyat dengan tuntut pilihan raya

13 Ahli Parlimen pembangkang dan seorang senator mendakwa, Umno rela korbankan rakyat dengan menuntut pilihan raya diadakan ketika Covid-19 menjadi ancaman utama.

Ketika negara semalam mencatatkan 1741 kes baru Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 120,818, Umno menuntut pilihan raya diadakan.

Sementara itu, beberapa negeri pula kini dilanda banjir buruk dan sehingga kini lebih 15,000 mangsa banjir dipindahkan tetapi Umno abaikan dengan menuntut pilihan raya.

“Peningkatan jumlah pengangguran terkini dan penyusutan pendapatan kepada banyak keluarga semasa tempoh pandemik ini semakin membimbangkan.

“Dengan mempertimbangkan semua perkara ini, kami begitu terkejut dengan permintaan berterusan oleh Umno menuntut mengadakan pilihan raya dalam keadaan seperti ini.

“Hampir tiga minggu selepas belanjawan yang sepatutnya mesra rakyat ini diluluskan, Umno mahu menggunakan pilihan raya sebagai muslihat terakhir untuk merebut lebih banyak kuasa dengan mengorbankan kesejahteraan, keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia,” jelas mereka dalam kenyataan tersebut.

13 Ahli Parlimen yang menolak PRU sekarang ketika Covid-19 masih sedang merebak dengan ganas.

 

Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub (Pulai), Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena), Khalid Samad (Shah Alam), Datuk Darell Leiking (Penampang), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar),Mohd Azis Jamman (Sepanggar), Hannah Yeoh (Segambut) Yeo Bee Yin (Bakri), Baru Bian (Selangau), Sivarasa Rasiah (Sungai Buloh), Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Teo Nie Ching (Kulai) dan Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud).

Seorang lagi yang turut serta dalam kenyataan bersama itu ialah senator, Marzuki Yahya dari Pejuang.

Mereka juga memetik ucapan bekas presiden Umno, Najib Razak yang pernah berkata “Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!”.

“Rakyat Malaysia mesti menolak cita-cita jahat dan sikap mementingkan diri demi kuasa.

“Kita telah cukup banyak kehilangan masa bertahun-tahun akibat salah laku pentadbiran dan rasuah. Negara ini perlu segera dirawat dan masa untuk merawatnya adalah sekarang!” kata mereka.

Untuk rekod sebahagian pemimpin Umno kini mendesak pilihan raya umum diadakan segera ketika hubungan parti itu dengan Bersatu dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat semakin goyah.

Media melaporkan, Pengerusi Umno Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakob yang memberi kata dua kepada kerajaan PN agar segera membubarkan parlimen atau dia melepaskan jawatan dalam kerajaan.

Semalam, Jazlan meletakkan jawatan sebagai pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).