Malaysia Dateline

Umno mahu PRU sebaik Covid-19 reda, semua menteri dalam kerajaan PN kekal

Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno malam tadi memutuskan agar semua menterinya kekal dalam kabinet kerajaan Perikatan Nasional dan pilihan raya umum hendaklah diadakan sebaik sahaja wabak Covid-19 reda.

“Umno adalah sebuah parti yang dasar-dasarnya sentiasa memberikan keutamaan kepada agenda rakyat. Maka semua anggota Kabinet yang mewakili Umno terus kekal dalam Kerajaan dan beriltizam untuk terus menjaga kebajikan rakyat dan mempertahankan maruah parti.

“Umno memutuskan agar mandat rakyat dikembalikan bagi mewujudkan kerajaan yang stabil dengan mengadakan PRU setelah pandemik Covid-19 dapat dikawal dan berada di peringkat minimum,” kata Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu malam tadi.

Ia bermula jam 9 malam dan berakhir selepas jam 12 malam tadi.

JAWATAN TPM

Dalam kenyataan itu tidak disebut isu jawatan timbalan perdana menteri dari Umno yang menjadi isu sepanjang hari semalam.

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menerusi facebook beliau memberikan gambaran sikap yang sepatutnya diambil Umno dalam isu ini.

Beliau menceritakan, Umno akan stabil jika keputusan perlantikan TPM dibuat dengan mengambil kira hieraki parti dalam Umno mengambil kira sejarah parti itu.

“Tahun 1976 negara gempar berita kematian Allayarham Tun Abdul Razak, PM Malaysia ke 2. Tun Hussein Onn (Allayarham) dilantik sebagai PM ke 3.

“Selepas itu bertiup kencang Ghazali Shafie (King Ghaz) bakal dilantik TPM. King Ghaz hanyalah Ahli MKT Umno.

“3 Naib Presiden bertemu Tun Hussein. Tengku Razaleigh Hamzah, Ghafar Baba dan Dr Mahathir Mohamad.

“TRH menjadi jurucakap. “Sekiranya mahu melihat Umno stabil dan tidak huru hara, lantiklah di kalangan hierarki.” Beliau sendiri menarik diri kerana tak mahu dilihat berkepentingan dlm tuntutan itu. Lagi pun beliau masih muda. Pilihan hanyalah Dr Mahathir dan Encik Ghafar.

“Dr Mahathir diumum sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia baru oleh Tun Hussein.

“Umno stabil kerana Tun Hussein menghargai tradisi hierarki parti. Kestabilan Umno adalah kestabilan kuasa Melayu yang menjadi tonggak kestabilan negara,” tulis Shabery bekas Menteri Penerangan kerajaan Barisan Nasional itu.

Semalam Umno kecoh apabila mereka menerima maklumat Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang tiada sebarang jawatan utama dalam Umno hendak dilantik sebagai TPM oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hishamuddin hanya baru dilantik sebagai Bendahari Barisan Nasional.