Malaysia Dateline

Umno & MCA baik dengan komunis, PH pula yang dapat ‘getahnya’

Kisah darurat, komunis dan Bintang Tiga memang cukup dekat dengan jiwa orang Melayu. Bukanlah suatu yang sukar difahami mengapa orang Melayu begitu sensitif dengan topik-topik tersebut.

Tidak dinafikan sebahagian masyarakat Melayu khususnya golongan berusia di negara ini mempunyai pengalaman hidup pada era darurat. Tempoh 1948 hingga 1960 menjadi tahun-tahun penting dan genting bagi Tanah Melayu. Dalam tempoh darurat inilah negara mencapai kemerdekaan.

Penentangan bersenjata komunis ini bermula apabila pentadbiran British tidak mengiktiraf kewujudan Parti Komunis Malaya (PKM) sebagai parti politik yang sah di Tanah Melayu.

Walaupun berjasa dengan British dalam misi mengusir Jepun dari Tanah Melayu melalui Malayan People’s Anti-Japanese Army (MPAJA), era perang dingin blok Barat dan Soviet selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua turut memberi kesan kepada politik Tanah Melayu yang masih ditadbir British melalui British Military Administration (BMA), Malayan Union dan Persekutuan Tanah Melayu.

PKM yang melancarkan perang gerila terhadap pentadbiran British melaksanakan kempen-kempen keganasan bertujuan mensabotaj ekonomi Tanah Melayu sekali gus menanamkan perasaan tidak selamat dalam kalangan penduduknya.

Pastinya yang berada di barisan hadapan bagi menghadapi serangan pengganas komunis ini adalah pasukan polis dan tentera yang majoriti anggotanya orang Melayu.

Sebahagian besar kaum Melayu di negara ini mempunyai ahli keluarga yang berkhidmat dengan pasukan polis dan tentera di era darurat. Walaupun pada mulanya berkhidmat dengan kerajaan British, mereka kemudiannya menyambung khidmat dengan kerajaan Tanah Melayu selepas negara mencapai kemerdekaan pada 1957 dan seterusnya pembentukan Malaysia pada 1963.

Penentangan panjang terhadap pengganas komunis di negara ini memakan korban yang ramai. Tidak sedikit anggota pasukan keselamatan yang kehilangan nyawa, cedera parah dan cacat seumur hidup kerana terlibat membanteras gerakan subversif pengganas komunis sama ada di hutan, di luar bandar mahupun di bandar.
Hanya selepas perjanjian damai kerajaan Malaysia dan PKM dimeterai di Hatyai di selatan Thailand pada 2 Disember 1989, ancaman pengganas komunis terhadap keselamatan dan keamanan negara berakhir.

Namun, luka lama dalam sejarah hitam negara itu tidak mudah sembuh. Sebarang riak simpati terhadap komunis (baca: PKM) akan mudah menarik sentimen rakyat khususnya orang Melayu.

Maka, tidak hairanlah jika isu berkaitan komunis ini masih dijadikan modal untuk meraih sokongan oleh sesetengah pihak yang gemar mengocak sentimen bangsa dan agama.

Sebagai contoh ramai yang tidak berpuas hati apabila abu mayat mantan setiausaha agung PKM, Chin Peng dibawa balik ke negara ini secara rahsia pada 16 September 2019; sedangkan mendiang telah meninggal dunia di Bangkok pada 2013 ketika berusia 89 tahun.

Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui kerajaan tidak pernah membenarkan abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dibawa pulang ke Malaysia.

Malah, kerajaan hanya mengetahui perkara itu selepas keluarga atau sahabat handai mendiang yang berasal dari Setiawan, Perak itu membuat kenyataan.

“Kita tidak mahu melihat isu ini berbangkit dan menimbulkan kemarahan terutamanya terhadap keluarga mangsa keganasan komunis, sama ada secara langsung dengan Chin Peng atau gerakan komunis pada zaman darurat dahulu,” kata Muhyiddin.

Isu abu mayat Chin Peng ini telah dijadikan modal untuk menyerang kerajaan PH oleh pihak tertentu yang mendakwa kononnya ada usaha untuk menghidupkan kembali PKM di negara ini. Dan yang sering menerima serangan liar adalah DAP; hanya kerana ideologinya sosialis dan ramai pemimpinnya berbangsa Cina.

Baru-baru ini riuh dengan isu buku teks sejarah yang dikemaskinikan semasa pentadbiran 22 bulan PH sebagai “mengagungkan komunis”. Tuduhan itu dibuat Ketua Pemuda Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dasuki.

Pastinya dakwaan itu dibuat untuk mengukuhkan naratif kononnya kerajaan PH didominasi DAP – sebuah parti dukungan masyarakat Cina yang dianggap bersimpati dengan komunis.

Maka Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Mazlee Malik yang menjawat Menteri Pelajaran pada era kerajaan PH terpaksa tampil memberikan penjelasan.

Menurut Dr Mazlee, proses penggubalan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) termasuk kurikulum sejarah telah dilaksanakan sewaktu era pentadbiran BN yang didukung Asyraf Wajdi.

KSSM telah diperkenalkan pada 2017 ketika Menteri Pelajaran disandang ahli Parlimen BN dari Umno. KSSM menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) yang mula dilaksanakan pada 1989.

Bagi kurikulum Sejarah, ia telah disemak semula pada tahun 2014 di era pentadbiran Najib Razak dan dilaksanakan pada tahun 2017 bermula dengan murid-murid tingkatan satu. Murid-murid tingkatan satu pada 2017 ini memasuki tingkatan empat pada 2020.

Dr Mazlee menambah, penggubalan kurikulum Sejarah mengambil masa beberapa tahun dan proses ini melibatkan panel pakar yang berpengalaman dalam subjek tersebut.

Mereka terdiri daripada pakar sejarah terkenal dalam negara, pensyarah universiti, pensyarah Institut Pendidikan Guru, guru pakar dan guru-guru mata pelajaran sejarah.

Sehubungan itu amat mustahil untuk kerajaan PH melakukan semua ini dalam masa 22 bulan. Ini kerana buku teks yang dicetak pada 2019 dan digunakan pada 2020 sebenarnya dimulakan proses penerbitan pada 2014/2015.

Malah, dalam kes kurikulum sejarah, sebahagian pakar-pakar rujuknya dikenali sebagai simpatisan Umno dan Pas yang membentuk kerajaan PN sekarang.

Sehubungan itu, Dr Mazlee menyifatkan tuduhan melulu Dr Asyraf Wajdi yang menyalahkan pentadbiran PH sebagai “komen kosong tanpa usul periksa”.

Memang sudah menjadi amalan bagi para pemimpin parti berteras bangsa dan agama di negara ini untuk mengeksploitasi sentimen kaum dan agama bagi meraih sokongan politik. Tidak hairanlah sepanjang 22 bulan pentadbiran PH, isu-isu berkait agama dan kaum dijadikan ‘gendang perang’ bagi memburukkan kerajaan.

Prinsip kebebasan bersuara yang diamalkan kerajaan PH diambil kesempatan oleh golongan desperado politik ini untuk mencipta naratif kononnya “Islam terancam” dan budaya iberalisme Barat semakin berkembang subur.

Berita palsu dan kempen kebencian disebarkan semahu mungkin di media sosial hatta di kuliah agama dan mimbar masjid tanpa segan dan malu. Tema “Islam terancam” dan “Melayu terpinggir” ini dibingitkan dengan penyertaan mufti dan penceramah selebriti.

Namun, setelah setahun kerajaan PH ditumbangkan melalui gerakan “pintu belakang” dan “tebuk atap”, naratif “Islam terancam” dan “Melayu terpinggir” itu semakin pudar. Semuanya kerana mereka yang melakarkan naratif itu sudah membentuk kerajaan!

Apa yang berlaku ini patut menjadi pengajaran kepada rakyat khususnya orang Melayu yang terlalu mudah dibuai sentimen kaum dan agama. Selagi kewarasan akal, ilmu dan fakta tidak dijadikan sandaran untuk orang Melayu menentukan pendirian politik mereka, selagi itulah mereka akan terus dipermainkan oleh para penunggang kaum dan agama.

Sebagai contoh, di negara ini hanya Umno dan MCA sahaja mempunyai hubungan rasmi dengan Parti Komunis Cina (PKC). PKC diketahui umum membantu perjuangan PKM sehinggalah ianya dibubarkan.

Para pemimpin utama PKM juga ramai yang berlindung di Beijing, pusat pentadbiran PKC. Malah Umno yang berketuapemudakan Asyraf Wajdi mempunyai perjanjian perkaderan dengan PKC.

Pemimpin MCA pula mendapat penghormatan berucap di kongres PKC. Mengapa DAP dan PH pula yang mendapat getahnya?