Malaysia Dateline

Umno-MIC tolak resolusi MCA bubar BN

Tiada sebarang konsensus dicapai untuk membubarkan Barisan Nasional (BN) seperti mana yang dicadangkan oleh MCA menerusi resolusi perhimpunan agung tahunan parti itu pada Disember lalu.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, mesyuarat Majlis Tinggi BN hari ini sebulat suara menolak cadangan itu selepas Umno dan MIC mencapai konsensus untuk mengekalkan gagasan lebih 60 tahun itu.

“Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong telah membentangkan resolusi setelah mendapat mandat daripada (CWC).

“Pandangan beliau diberikan secara terpirinci, kenapa dan bagaimana resolusi ini terjadi dan mengambil kira keadaan semasa.

“Mesyuarat tiada konsensus berkenaan dengan resolusi yang telah dibentangkan oleh MCA iaitu untuk membubarkan BN,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi BN di Menara Dato’ Onn, hari ini seperti dipetik MG.

Pada 2 Disember lepas, Persidangan Agung Tahunan MCA meluluskan resolusi membubarkan BN dan membentuk gabungan baharu yang lebih berkesan.

Resolusi itu diulangi Ka Siong dan Presiden MIC, Tan Sri A Vigneswaran mempertimbangkan untuk mencari pakatan baharu dalam satu kenyataan bersama pada Isnin lalu.

Ia kerana, mereka kecewa dengan kenyataan berbaur perkauman Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih lalu.

Menurut Ka Siong dan Vigneswaran, BN merupakan pakatan yang dibentuk untuk mempromosikan perpaduan dalam kepelbagaian kaum dalam membina negara.

Ketika kempen PRK Semenyih lalu, Mohamed Nazri mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyerahkan hak orang Melayu kepada kaum lain dan mengkritik pelantikan Peguam Negara, Tommy Thomas, Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng