Umno nafi ada Adun Terengganu mahu keluar parti

Umno nafi ada Adun Terengganu mahu keluar parti

Pemimpin Umno Terengganu menafikan ada dua Adun mereka akan keluar parti tidak lama lagi sambil menyifatkan khabar angin mengenainya untuk mewujudkan salah faham sahaja.

Menurut Bernama, perpaduan dalam kalangan pemimpin Umno Terengganu ketika ini adalah erat dan isu kononnya dua Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada Umno akan keluar parti yang tersebar di media sosial ketika ini bertujuan untuk mewujudkan salah faham.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Muhammad Pehimi Yusof yang menegaskan perkara itu berkata dakwaan itu tidak perlu dilayan kerana isu keluar parti tidak timbul dalam Umno Terengganu.

“Seluruh lapan bahagian Umno di Terengganu sudah bersatu padu untuk menghadapi tahun bertindak anjuran BN (Barisan Nasional) negeri yang menyasarkan untuk merampas semula kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sura, Rantau Abang dan Paka yang dikuasai pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program bertemu masyarakat di Kampung Gong Nering di sini hari ini.

Katanya, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri telah menggariskan tahun ini untuk memperbaiki setiap kelemahan dalam parti bagi memastikan kemenangan dan menawan kembali kawasan Dun dikuasai pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata misi itu diyakini mampu dicapai dengan syarat anggota dan pemimpin parti kekal bersatu.

Adun Pas Cukai, Hanafiah Mat dilaporkan berkata, dua Adun Umno akan keluar meninggalkan parti itu tidak lama lagi.

Hanafiah yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Terengganu berkata, alasan tindakan itu akan diberitahu sendiri oleh Adun berkenaan.

“Soal untuk bersama kita (Pas) itu belum pasti, yang kita pasti mereka akan tinggalkan Umno, tinggalkan BN. Tunggu minggu depan, ada berita baik untuk parti kita (Pas), tapi buruk untuk Umno,” katanya dalam satu program di Pejabat Pas Kemaman, Chukai, Kemaman.

TAGS