Malaysia Dateline

Umno pandang serius keperluan kerajaan yang stabil, kukuh

Umno mendokong dan memandang serius saranan Yang di-Pertuan Agong akan keperluan mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan medianya berkata, Umno juga menjunjung kasih dan menyokong penuh titah baginda yang telah menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

“Ini jelas menzahirkan kebijaksanaan dan keprihatinan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Raja-Raja Melayu terhadap segala keresahan dan kegelisahan rakyat terhadap pelbagai krisis yang sedang melanda negara ketika ini,” kata Zahid.

Dalam sesi mengadap baginda, Zahid berkata, beliau menjelaskan bahawa Parlimen harus dibenarkan berperanan sebagai platform rasmi menyuarakan pelbagai suara hati rakyat yang sedang dalam kesempitan seperti tuntutan Moratorium automatik secara pukal, kawalan harga barang, i-Sinar 2.0, i-Lestari 2.0 dan pelbagai bantuan khas kepada rakyat sekaligus memulihkan semula ekonomi negara.

“Umno juga turut mempersembahkan pendirian berkenaan dengan keperluan untuk darurat tidak diteruskan selepas 1 Ogos 2021 kerana kemudaratannya lebih besar kepada negara, sedangkan tanpa darurat kerajaan masih boleh menguruskan isu-isu berkaitan pandemik Covid-19,” katanya.