Malaysia Dateline

Umno parti hilang nilai kepimpinan, kata Shafie Apdal

Tindakan pemimpin Umno yang berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis dengan kenyataan yang didakwa menghina bangsa dan agama rakyat negeri ini mencerminkan parti itu sudah hilang pedoman dan tiada nilai kepimpinan boleh dibanggakan bagi mentadbir Malaysia mahupun Sabah.

Datuk Seri Shafie Apdal

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata sebagai pemimpin kanan UMNO, beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seumpama itu.

“Pakai baju biru (Barisan Nasional) itu Malaysia, pakai baju putih (Parti Warisan Sabah) itu Filipina.

“Selaku pemimpin, jangan hina bangsa dan agama, (berkempen) bukan tempatnya hina bangsa dia, agama dia, terserah kepada individu itu,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan borang keahlian menyertai Warisan di Kampung Lumat Membakut pada Ahad.

Pada majlis itu, 127 anggota Umno termasuk Ketua Wanita Umno cawangan Lumat Sakonah Salamat dan 221 anggota baharu menyertai Warisan.

Baru-baru ini, Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan ketika berkempen bagi PRK Kimanis, mengeluarkan kenyataan yang membandingkan pilihan raya kecil itu umpama pertandingan antara Malaysia dan Filipina.

Susulan itu, Mohd Shafie memberi amaran untuk menyaman bekas Menteri Besar Negeri Sembilan berkenaan kerana memfitnah parti tempatan Sabah itu.

Dalam pada itu, Mohd Shafie yang juga Ketua Menteri Sabah mempersoalkan sama ada tindakan Mohamad itu adalah contoh terbaik dipaparkan seorang pemimpin Umno.

“Tak kan itu dasar pimpinan Umno timbalan presiden yang mahu melahirkan rakyat Malaysia yang bersatu padu sedang menghina kita, rakyat Malaysia di Sabah, kita di Kimanis,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shafie berharap pengundi di Membakut memilih calon Warisan, Datuk Karim Bujang agar apa yang dijanjikan kepada penduduk di kawasan berkenaan dapat ditunaikan.

Beliau berkata mereka tidak perlu bimbang dengan janji-janji yang dibuat itu kerana Warisan adalah parti memerintah di Sabah, bersama-sama Pakatan Harapan dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).– BERNAMA