Malaysia Dateline

Umno, Pas bawa naratif Melayu, Islam yang terpesong

Umno dan Pas sebenarnya membawa naratif yang terpesong daripada politik Islam dan bangsa Melayu itu sendiri, tegas Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Ustaz Ridzwan Abu Bakar.

Beliau berpendapat Umno dan Pas bukan berbicara tentang Melayu dan Islam secara keseluruhan bahkan Umno-BN sebenarnya yang menjatuhkan Melayu.

Sebaliknya, beliau menegaskan AMANAH mengetengahkan naratif Islam yang menolak fahaman ekstrem, taksub dan takfiri.

Sehubungan itu, Ustaz Ridzwan yakin pasaran pengundi di negara ini yang tidak menerima Umno dan Pas adalah jauh lebih besar.

Untuk rekod, Umno dan Pas telah memeterai piagam Muafakat Nasional dalam Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 14 September tahun lalu.

Mengulas lanjut, Ustaz Ridzwan berkata,┬ápengundi yang menganggap semua parti politik adalah sama apabila mendapat kuasa sebenarnya merupakan ‘pasaran’ besar kepada AMANAH.

“Sekiranya ada yang sebut semua parti politik adalah sama sebenarnya mereka inilah potensi besar pasaran kita (AMANAH).

“Inilah golongan sasaran kita. Jangan kita tinggalkan mereka sebab kita perlu membawa naratif menolak fahaman yang ekstrem dan takfiri. Kita kena sebut di mana bezanya AMANAH dengan Pas.

“Mereka akan nampak AMANAH lebih sedikit daripada Umno dan Pas,” jelas Ustaz Ridzwan dalam slot bual santai di saluran YouTube, Studio Tingkat 4.