Malaysia Dateline

Umno-Pas, Bersatu bakal bertelagah agihan kerusi

Dr Mazlan Ali

Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat bakal berhadapan cabaran yang sangat besar terutama berkaitan pengagihan kerusi dalam kalangan mereka.

Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali yang menjangkakan situasi itu berkata, kemelut pengagihan kerusi antara mereka adalah satu perkara yang sukar untuk diselesaikan.

Ini kerana katanya, Umno, Pas dan juga Bersatu mempunyai masalah berbanding parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) kerana ketiga-tiga parti ini sebenarnya bersaing dalam konstitusi yang sama, iaitu Melayu-Islam.

“Persoalannya sekarang, siapa yang akan mampu mengalah? Setakat ini pembahagian kerusi dalam kalangan ahli Parlimen Muafakat Nasional (MN) masih belum teruji.

“Pilihan Raya Kecil (PRK) yang lalu seperti di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau itu memang sudah jelas kerusi Barisan Nasional (BN).

“Tetapi untuk PRU akan datang nanti, akan timbul masalah tentang pembahagian kerusi. Saya menjangkakan Umno dan Pas tidak akan pandang kepada Bersatu,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cabaran Umno dan Pas yang mempunyai lebih banyak kerusi untuk berpakat dengan Bersatu sekiranya masih kekal sehingga PRU-15 nanti.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam kenyataannya berkata, sebagai parti politik, tugas dan fokus Umno kini ialah bersedia memenangi pilihan raya akan datang bersama rakannya dalam MN dan BN serta Umno akan terus menjadi parti politik Melayu terbesar di negara ini.

Tiada apa

Mengulas lanjut, Dr Mazlan Ali yang juga penilai dunia politik tanah air berkata, parti Bersatu dilihat sebagai ‘tiada apa-apa’.

“Sama juga dengan kumpulan Azmin Ali. Apa kekuatan Azmin? Selama ini dia menang dengan siapa? Menang dengan kekuatan PH juga.

“Azmin mungkin mahukan kawasan Gombak, Pas kata Gombak mereka punya, Umno pula kata kami pun kuat.

“Jadi, saya fikir memang masalah akan timbul sebab usahkan Bersatu, Umno dan Pas yang mempunyai gabungan kuat setakat ini pun tidak teruji lagi dengan pembahagian kerusi untuk PRU,” ujarnya lagi.

Dalam isu sama, Dr Mazlan Ali turut menyifatkan konsep pembahagian kerusi yang diguna pakai oleh PH dilihat berbeza dan ianya jelas.

“Dalam PH ianya jelas dan mempunyai kerangka asas iaitu kawasan yang majoritinya Cina, calon DAP akan diletakkan di situ.

“Untuk kawasan campuran, diletakkan calon PKR manakala kawasan campuran yang mempunyai ramai pengundi Melayu-Islam, calon AMANAH akan berada di situ,” katanya lagi.