Umno-Pas cuba beri persepsi buruk terhadap PH perjuangkan Melayu, kata Marzuki

Umno-Pas cuba beri persepsi buruk terhadap PH perjuangkan Melayu, kata Marzuki
Datuk Marzuki Yahya (kiri0 menyampaikan anugerah kepada salah seorang pelajar cemerlang SMK Permatang Tok Jaya semalam.

Pakatan Harapan (PH) tidak pernah meminggirkan orang Melayu sepertimana yang sering didakwa oleh pembangkang, khususnya Umno dan Pas.

Sebaliknya PH memberi keutamaan dalam meneruskan perjuangan bagi membela nasib orang Melayu yang masih lagi jauh ketinggalan jika dibuat perbandingan.

Demikian dinyatakan oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya ketika ditemui selepas menyampaikan anugerah kecemerlangan kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Tok Jaya, Tasek Gelugor, pada Ahad.

Malah katanya lagi, isu memperjuangkan nasib orang Meayu sengaja dimainkan bagi memberi persepsi negatif terhadap PH.

“Rakyat boleh membuat perhitungan bagaimana nasib orang Melayu ketika negara ditadbir oleh Umno dan BN.

“Semasa pemerintahan Umno dan BN, yang lebih diberi prioriti ialah kroni dan membolot kekayaan negara.

“Akibatnya rakyat kini menanggung sengsara apabila begitu banyak kepincangan dan korup yang telah berjaya dibongkar, ” tegasnya.

Marzuki yang juga  TImbalan Menteri Luar  berkata, , pentadbiran PH kini amat jauh berbeza dengan apa yang pernah dipraktikkan oleh kepimpinan BN sebelum ini.

“PH tidak didominasi oleh Dap maupun mana-mana parti sepertimana yang didakwa oleh pembangkang.

“Kini keutamaan diberikan terhadap agenda pembentukan ekonomi negara.

“Begitu juga dengan pembangunan ilmiah kepada orang Melayu yang dilaksanakan tanpa jemu oleh kerajaan PH, ” ujarnya lagi.

Menurut Marzuki lagi, PH setakat ini telah berjaya membawa perubahan sehinggakan Umno dan Pas berada dalam situasi yang amat tertekan.

Ekoran itu, pelbagai dakyah dan doktrin negatif ditaburkan bagi mencelarukan pemikiran dan dokongan orang Melayu terhadap PH.

Walau bagaimana pun katanya, segala usaha tersebut tidak mungkin akan berjaya kerana rakyat telah tahu membezakan antara yang benar dan batil.