Malaysia Dateline

Umno-Pas dijangka terus jadikan isu kaum, agama ‘senjata’ mereka, kata Amiruddin

Kerjasama Umno-Pas yang menggunakan sentimen agama serta kaum pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Semenyih semalam, dijangka terus menjadikan dua aspek itu sebagai ‘senjata’ mereka pada pada masa-masa akan datang.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah berkata kejayaan kerjasama itu pada PRK Dun Semenyih semalam, akan mendorong Umno-Pas untuk terus menampilkan Pakatan Harapan (PH) sebagai tidak prihatin terhadap kedua-dua isu.

“Banyak kelompok guna sentimen agama ini… isu tentang hina Nabi (Muhammad) yang telah kita ambil tindakan, peruntukan kepada bumiputera yang sebenarnya tidak kita hapuskan.

“Tapi ini dimainkan gabungan dua kawan baharu, seorang bawa isu agama dan seorang lagi bawa isu bangsa yang kononya PH tak ambil berat,” kata Anggota Parlimen Kubang Pasu itu kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Alor Janggus pada Ahad.

Mengulas lanjut, Amiruddin bagaimanapun mengakui PH perlu membuat post-mortem serta membaiki kelemahan prestasi.

Pada PRK yang berlangsung semalam, Barisan Nasional merampas semula Dun Semenyih menerusi calonnya Zakaria Hanafi yang mengatasi calon PH Muhammad Aiman Zainali dan dua lagi calon dengan majoriti 1,914 undi.