Malaysia Dateline

Umno-Pas kahwin bukan atas dasar cinta, selar Nik Nazmi

Ahli ParlimenĀ  Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad menyifatkan tindakan pemimpin Umno dan Pas yang menggambarkan ikatan mereka sebagai sudah ‘berkahwin’ bukanlah atas ‘dasar cinta’ semata-mata.

Nik Nazmi berkata perjanjian kepimpinan kedua-dua parti tersebut membabitkan pampasan kewangan yang melibatkan pembayar dan penerima yang melakukannya dengan rela hati.

Katanya juga ‘perkahwinan’ Umno-Pas membuktikan kedua-dua parti ini sebenarnya organisasi yang satu dan sama berikutan pengumuman oleh Pemangku Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa partinya dan Pas akan membentuk jawatankuasa dan kumpulan pembangkang di Parlimen.

“Walaupun bertahun-tahun dinafikan oleh pemimpin dari kedua-dua pihak tetapi kini telah sah bahawa kedua-dua sebenarnya satu barisan.

“Kedua-dua pihak ini seolah-olah lebih peduli dengan bersusah-payah untuk kuasa politik, cuba membela dosa terdahulu dan cuba mencetuskan perasaan perkauman.

“Kedua-dua pihak juga hanya menyediakan retorik tanpa sebarang alternatif yang jelas, dan telah menjadi lebih seperti parti politik kenegerian, dan bukannya bersifat nasional,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Pengelola PKR, menegaskan bahawa bekas pemimpin parti tersebut, seperti Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Dr Burhanuddin Helmy, Datuk Fadzil Noor dan Allahyaraham Nik Abdul Aziz Nikmat, bukan sahaja bekerjasama dengan masyarakat berbilang kaum, tetapi juga mempunyai taraf integriti tertinggi dalam kehidupan awam.

Beliau juga berkata tindakan pemimpin Umno dan Pas hari ini, serta apa yang dipanggil ‘perkahwinan’, bermakna kedua-dua pihak telah berpaling dari semangat serta warisan tokoh-tokoh lama mereka.