Malaysia Dateline

Umno, Pas sibuk memikir soal agihan kerusi bukan soal rakyat

Tindakan Umno dan Pas melalui gabungan Muafakat Nasional (MN) hari ini yang membincangkan soal pengagihan kerusi jelas menunjukkan bahawa gabungan tersebut yang lebih mengutamakan soal politik tanpa menghiraukan nasib rakyat.

Perkara itu disuarakan oleh Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor, Abdul Hamid Jamah yang berkata jelaslah selama ini Umno dan Pas hanya mementingkan politik serta mengelirukan rakyat berkenaan perkara tersebut.

Katanya, kini jelas siapa dalang yang sebenarnya yang tidak pernah memikirkan soal kesinambungan hidup rakyat yang kian tersepit di negara ini.

“Sudah terang lagi bersuluh, selama ini rakyat hanya dimomokkan dengan permainan politik Umno Pas dan nasib rakyat hanya dibakulsampahkan.

“Malah Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini memenangi PRU 14 yang lalu melalui mandat rakyat telah dikhianat oleh individu yang ternyata mendahulukan tembolok sendiri berbanding dengan permasalahan yang dialami rakyat.

“Mengapa harus Umno Pas sibuk memikirkan soal pengagihan kerusi? Apakah usaha gabungan tersebut yang kini sebagai sebuah kerajaan fikirkan untuk keberlangsungan kehidupan rakyat di negara ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Umno Pas dalam satu pertemuan memaklumkan bahawa terdapat perbincangan yang menjurus ke arah pengagihan kerusi sesama mereka yang membelakangkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi persediaan menghadapi PRU yang akan datang.

Timbalan Presiden Pas sebelum ini berkata jawatankuasa teknikal mereka sedang meneliti formula agihan kerusi dan formula tersebut akan diangkat kepada jawatankuasa induk untuk diterima pakai.

Hamid menyatakan tuduhan terhadap PH hanya bermain politik tanpa menghiraukan nasib rakyat adalah tidak benar kerana gabungan itu hanya mahu mendapatkan semula mandat rakyat yang dikhianati oleh gabungan baharu Perikatan Nasional (PN) pada hujung Februari yang lalu.

“PH hanya mempertahankan hak mereka, berbeza dengan Umno Pas yang bersama-sama dalam kerajaan PN demi keberlangsungan politik mereka sahaja.

“Apa yang dilakukan oleh mereka kini adalah sebagai menyelamatkan diri masing-masing dan dalam masa yang sama menjadi rakyat sebagai mangsa dari tindakan yang mereka lakukan.

“Justeru pada itu jelaslah tampuk pemerintahan yang diisi oleh Umno Pas itu hanya sebagai agenda peribadi masing-masing bagi meraih simpati rakyat untuk mereka mencatur politik bukan membantu rakyat di negara ini,” ujarnya lagi.