Malaysia Dateline

Umno-Pas sokong Muhyiddin PM ke-8

Gabungan Muafakat Nasional yang terdiri daripada Umno dan Pas bersetuju mencalonkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8.

Dalam kenyataan bersama, Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan hari ini, memaklumkan gabungan Muafakat Nasional seramai 57 ahli Parlimen Umno dan Pas itu memberi sokongan penuh kepada ahli Parlimen Pagoh yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

Pada Selasa Barisan Nasional (BN) dan Pas  dalam sidang media bersama Muafakat Nasional, memutuskan untuk menarik balik akuan bersumpah (SD) menyokong Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Annuar berkata pendirian itu terpaksa dibuat berikutan wujud cadangan untuk membentuk kerajaan perpaduan daripada Dr Mahathir yang turut di sertai DAP.

Sementara itu,  Takiyuddin, berkata gabungan mereka juga menolak sekeras-kerasnya dakwaan cubaan untuk merampas kuasa daripada Pakatan Harapan (PH).

Ini berikutan kerajaan PH yang runtuh selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) keluar PH, manakala beberapa pemimpin PKR pula mengumumkan keluar parti itu.