Malaysia Dateline

Umno Pasir Gudang hanya tahu berpolitik daripada membantu rakyat

Parti Umno hari ini di nasihatkan menghentikan serangan berbentuk politik dangkal dan fokus kepada bantuan rakyat yang sedang memerlukan.

Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor, Mohd Faizul Mohd Salleh dengan merujuk kepada Umno Bahagian Pasir Gudang yang menuding jari kepada mantan exco kerajaan negeri Johor semalam.

Dalam laman ‘Facebook’ Umno bahagian itu, mereka meminta agar kedua mantan exco yakni Adun Johor Jaya, Liow Chai Tung dan Adun Kota Iskandar, Sr Dzulkefly Ahmad melepaskan jawatan pengerusi Yayasan Pasir Gudang dan Iskandar Puteri.

Sehubungan itu Faizul berkata, fokus laman tersebut hanya berniat untuk menghasut orang ramai serta memburuk-burukkan individu terbabit.

“Sepatutnya perkara ini dihentikan, fokus kepada bantuan rakyat bukan dengan hanya mengambil jalan mudah menuding jari kepada orang lain disebabkan kelemahan kita sendiri.

“Jika soal duit yang dipertikaikan oleh Umno bahagian tersebut, malulah dengan NGO dan badan individu lain yang mampu untuk menggerakkan bantuan kepada semua rakyat di negeri ini.

“Hakikatnya Umno kena belajar menjadi matang dalam menguruskan soal kemampuan mereka bukan dengan masih ditakuk lama berpendirian duit adalah segalanya dan tanpa duit bantuan usaha membantu rakyat akan terbantut,” tegasnya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, beliau turut menempelak tindakan Umno yang masih lagi berpolitik dalam keadaan terdesak seperti ini.

Tambahnya, pemerintahan Johor hari ini di bawah kendalian Menteri Besar dari Umno dan ia lebih memudahkan untuk bahagian tersebut beroperasi memberikan bantuan bukan hanya mengadu domba.

“Kenapa harus ada adu domba dalam membantu rakyat, sekiranya Umno bahagian tersebut tidak mampu berdiri atas kaki sendiri mereka juga boleh mendaftar untuk bersama-sama dalam gerak kerja agensi atau badan kerajaan yang lain.

“Hari ini politik bukan keutamaan tetapi khidmat kepada rakyat lebih perlu diutamakan. Sekalipun kerajaan pintu belakang yang menjadi exco dan MB namun proses lantikan baru masih belum dibuat dan selagi proses itu belum dibuat, pimpinan sebelum ini kekal memainkan peranan sesuai dengan keperluan semasa untuk membantu rakya.

“Masih terdapat ramai dalam kalangan yang memerlukan masih belum menerima bantuan dan adakah perkara itu masih tidak disedari oleh Umno bahagian tersebut atau mereka hanya tahu berpolitik dari membantu rakyat.

“Ini bukan masanya kita mahu pertikaikan soal siapa betul salah, ini masanya bantu rakyat. Sebelum ini pun pemimpin mereka juga menegaskan untuk menghentikan politik murahan seperti ini namun apa yang terjadi adalah berlainan bagi Umno Pasir Gudang,” tegasnya lagi.