Umno pasti gagal rampas Pulau Pinang tanpa usaha serius MCA, Gerakan, MIC

Oleh MALAYSIADATELINE

Walaupun sejarah pilihan raya umum (PRU) 2008 menyaksikan Umno mampu menang 11 kerusi di Pulau Pinang, BN tetap menjadi pembangkang setelah parti komponen lain dalam BN seperti MCA, Gerakan dan MIC gagal membantu memenangkan BN.

Begitu juga dalam PRU tahun 2013, sekali lagi Umno dan BN menjadi pembangkang untuk kali kedua di negeri yang sebelum ini menyaksikan kekuatan BN begitu ampuh dan utuh.

Kekuatan yang ada pada Umno sahaja tidak memadai untuk merealisasikan impian mereka mahu menawan Pulau Pinang sekali lagi dalam PRU ke-14 akan datang.

Sekiranya Umno menang kesemua 10 kerusi yang pernah dimenangi dalam PRU13 yang lalu pada kali ini, mereka tetap akan menjadi pembangkang untuk penggal yang ketiga.

Umno pasti gagal merealisasikan impian merampas Pulau Pinang tanpa ada usaha serius daripada parti komponen BN yang lain MIC, Gerakan dan MCA.

Demikian kata Bendahari Teras Pengupayaan Melayu Pulau Pinang (Teras), Abdullah Mohd Nor. Teras merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang begitu aktif memperjuangkan kebajikan masyarakat di Pulau Pinang.

Beliau yang ditemui turut berkata, sepatutnya MCA dan Gerakan sama-sama bertungkus-lumus membantu Umno memenangkan BN di Pulau Pinang dengan berusaha mendapatkan sokongan pengundi Cina.

“Kerusi yang dimenangi DAP dalam PRU lalu terlalu banyak, sehingga 19 kerusi, MCA dan Gerakan gagal memenangi sebarang kerusi.

“Ini membuktikan betapa lemah dan gagalnya MCA dan Gerakan untuk membantu Umno menawan semula Pulau Pinang.

“Manakala MIC yang hanya diperuntukkan kerusi Perai dan Bagan Dalam telah dua kali kecundang, tidak mendapat sokongan pengundi keturunan India, ” jelasnya.

Lebih malang lagi ujarnya, pelbagai program kebajikan yang diperkenalkan kerajaan negeri selepas merampas Pulau Pinang pada tahun 2008, berjaya membawa pembaharuan yang mendadak dan berjaya mendapat sokongan majoriti rakyat negeri ini.

Malah katanya, reformasi yang diperkenalkan telah mampu mengekalkan kuasa yang ada pada kerajaan negeri untuk dua penggal berturut-turut dan MCA, Gerakan dan MIC sekali lagi gagal mendapat sebarang kerusi dalam PRU13.

Justeru tegasnya, seandainya BN ingin menang dalam PRU14 nanti, komitmen yang wajib diberikan adalah oleh MCA dan Gerakan untuk merampas kerusi-kerusi yang dimenangi DAP.

“Persoalannya apakah hanya Umno sahaja yang membuat kerja sehingga bermati-matian bagi merampas kerusi-kerusi yang kalah sebelum ini?

“Apakah MCA, Gerakan dan MIC telah bersungguh-sungguh turun padang sejak awal bagi menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi pengundi yang mereka sasarkan?

“Seandainya gerak kerja dan usaha turun padang tidak dilaksanakan pada peringkat lebih awal, termasuklah dalam membantu mangsa banjir sekarang, apakah mereka mengharapkan ada ‘miracle’ atau keajaiban akan berlaku?” tanya beliau lagi.

Sehubungan itu tambahnya, bagi memastikan BN mampu menang kesemua 40 kerusi Dun yang ada di Pulau Pinang, mereka tidak hanya boleh mengharapkan kemenangan tipis yang telah berjaya diraih oleh Umno sahaja seperti dalam PRU12 dan PRU13.

Katanya lagi, jika BN serius ingin merampas Pulau Pinang, MCA, Gerakan dan MIC mesti membuktikan bahawa mereka masih mempunyai taring dan kekuatan bagi menolak DAP, PKR, AMANAH dan Bersatu dalam PRU akan datang.

Persoalannya kini tambahnya, apakah Umno bergerak sendirian dengan menumpukan sepenuh tenaga dan komitmen untuk merampas 30 lagi kerusi yang hilang dalam PRU lalu atau mereka turut dibantu secara serius oleh MCA, Gerakan dan MIC bagi merealisasikan impian merampas kembali Pulau Pinang?