Malaysia Dateline

Umno penentu haluan negara, jangan bawa haluan sendiri, kata Naib Presiden

Umno sentiasa berperanan dalam menentukan haluan negara ini, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Katanya, untuk mewujudkan kerajaan yang stabil di Malaysia, Umno mesti jadi sebahagian dari angkubahnya.

“Pakatan Harapan tumbang kerana peranan Umno vmenjadi pendesak dan pengaturcara. Perikatan Nasional tertubuh kerana Umno memberikan talian hayatnya.

“Maka nasib Perikatan Nasional seterusnya adalah dalam percaturan Umno. Pada Umno-lah kunci sebuah pemerintahan yang berfungsi boleh dijelmakan,” katanya.

Tetapi, katanya, Umno juga berhadapan dengan masalahnya tersendiri. Pelbagai kabilah dalam Umno dengan cita-cita masing-masing.

“Cita-cita untuk diri sendiri dan bukan untuk negara, parti, orang Melayu dan Islam. Masalah inilah yang akan menewaskan Umno jika tidak diatas,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, para pemimpin dalam Umno mesti mengendurkan aspirasi peribadi dan mengutamakan hanya aspirasi parti dan negara.

“Kekadang terlalu banyak pertindihan pendirian sehingga ahli dan rakyat jadi bingung pendirian mana yang Umno ini sebenarnya perjuangkan,” kata beliau.

TEGUH DENGAN KEPIMPINAN

Dalam pada itu, Mohamed Khaled juga berkata, jika Umno ingin berkelangsungan, maka parti itu harus teguh dengan keputusan parti dan hanya keputusan parti.

“Ini maksudnya hanya institusi presiden dan Majlis Tertinggi sebagai pengemudi perjalanan Umno,” kata beliau ketika sesetengah pemimpin Umno sedang berusaha untuk mengenepikan pandangan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz baru-baru ini mengaku, beliau di belakang usaha untuk mengumpulkan SD (akuan bersumpah) untuk dibawa kepada Yang Dipertuan Agong.

Datuk Seri Hishammuddin Husein pula dicadangkan sebagai calon perdana menteri. Mereka mengaku, 25 dari kalangan MP Umno kini bersama mereka.

Bagi Mohamed Khaled, segala yang diluar institusi Presiden dan Majlis Tertinggi Umno, ia bukan mewakili kepentingan parti malah adalah elemen canggahan kepada parti.

“Samada kita bersetuju dengan individu atau tokoh tertentu dalam kepimpinan parti, itu biarlah kita simpan dalam nurani kita. Namun disiplin parti mesti kita kekalkan.

“Mereka yang terpilih dek keputusan perwakilan adalah wakil sebenar parti dan kepada merekalah kita sandarkan keyakinan,” kata beliau.

Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, tanpa disiplin, parti akan jadi persendaan ahli dan rakyat.

Tanpa kesatuan, katanya, Umno akan meleset dalam seteruk-teruk kemelesetan.

“Kepada semua kabilah dalam parti, kendurkanlah cita-cita kalian demi menyelamatkan Umno. Kembalilah semua sebagai hanya satu pasukan demi tanah air,” katanya.

Namun, katanya, ini tidaklah bermakna mereka harus memadam cita-cita untuk memimpin bangsa suatu hari nanti.

“Umno senantisa bersedia menonjolkan hanya yang terbaik jika saat dan ketikanya sampai tetapi mesti dengan mengikut resmi dan tradisi Umno,” katanya.