Umno Perak nafi berlaku krisis dalaman mahu jatuhkan Ahmad Zahid

 

Umno Perak menafikan terdapat usaha untuk menjatuhkan Ahli Parlimen Bagan Datoh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

 

Datuk Saarani MohamadUmno Perak menafikan terdapat usaha untuk menjatuhkan Ahli Parlimen Bagan Datoh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, “rosak ikan bermula di kepala” yang diucapkan oleh Ahmad Zahid selaku naib presiden Umno yang menjalankan tugas-tugas timbalan presiden parti, adalah ditujukan kepada pembangkang bukan ahli Umno-BN.

“Saya ada bersama Datuk Seri Dr Zahid malam itu. Beliau sebut ada usaha untuk mengagalkannya di Bagan Datoh sebab beliau adalah Timbalan Pengerusi BN Pusat.

“Katanya (Ahmad Zahid) jika ibarat ikan, maka mereka akan busukkan kepala terlebih dahulu (dirinya). Oleh sebab itu beliau minta jentera BN Bagan Datoh bekerja lebih kuat, tiga kali ganda daripada PRU13 lalu.

“Beliau minta jentera BN ubah kaedah merayu undi serta aktif dalam media sosial untuk menangkis fitnah pembangkang,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau diminta mengulas  akan kenyataan Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar, semalam, yang mempersoalkan apa maksud sebenar Ahmad Zahid itu apabila menyebut “rosak ikan bermula di kepala” seperti dilapor Bernama.

Mahfuz dalam tulisannya semalam dipetik berkata,apa yang dimaksudkan oleh Timbalan Perdana Menteri itu mengenai pihak yang mahu menjatuh dan mengalahkannya pada PRU14, ujarnya, sudah pasti bukannya datang daripada pembangkang.

“Jangan menyalahkan pembangkang, yang salah itu adalah kesalahan pemimpin Umno-BN.

“Sudah menjadi tradisi apabila pembangkang bertanding dalam pilihan raya ia bukan sekadar kerusi Bagan Datoh yang mahu dimenangi tetapi termasuk 222 kerusi parlimen yang dipertandingkan.

“Maka sudah tentu yang dimaksudkan Ahmad Zahid ‘rosak ikan bermula di kepala’ itu adalah mainan politik dalaman Umno-BN yang didalangi oleh ‘kepala ikan besar dan mahal’ yang sedang mengalami kerosakan,” ujar Mahfuz seperti dipetik.

Saarani yang juga Ketua Umno Bahagian Lenggong ini menafikan sebarang krisis dalaman Umno di negeri itu membabitkan pimpinan utama negeridengan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak.

“Setahu saya tiada krisis kepimpinan di Perak. Terdapat solidariti kukuh menyokog Datuk Seri Zahid sebagai timbalan perdana menteri dan Datuk Seri Zambry Abd. Kadir sebagai menteri besar juga perdana menteri Datuk Seri Najib.

“Malah tidak ada gerakan di mana mahu menjatuhkan kedua-dua pemimpin besar dari Perak ini oleh mana-mana kepimpinan pusat,” ujarnya.

Ditanya apa yang difahami beliau mengenai “rosak ikan bermula di kepala?”

Saarani yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Peladangan, Penerangan dan Pembangunan
Modal Insan Negeri Perak menjelaskan perumpaan yang diberikan Ahmad Zahid itu, katanya,telah diputar belitkan oleh pembangkang.

“Mereka sudahlah salah mentafsirkan perumpamaan sebenar, dengan sengaja pula memutarbelitkan maksud.

“Saya yakin rakyat bijak menilai. Lagi banyak pembangkang spin isu-isu lagi jelas tembelang pembangkang.

“Akhirnya rakyat akan menolak mereka,” ujarnya.

Pada Jumaat lalu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan terdapat usaha untuk menjatuhkan beliau sebagai Ahli Parlimen Bagan Datoh dalam PRU ke-14 akan datang.

Beliau menyifatkan usaha tersebut umpama ‘rosak ikan bermula di kepala’ ketika beliau berucap pada majlis Perjumpaan Khas Bersama Kepimpinan BN Empat Peringkat di Bahagian Bagan Datoh.

Beliau dipetik berkata, usaha menjatuhkan beliau tidak akan berhasil sekiranya jentera BN melipatgandakan usaha pada PRU14 yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Mandat kerajaan BN bakal berakhir pada Jun 2018.

Artikel berkaitan: Zahid Hamidi perlu dedah ‘kepala ikan’ apa yang rosak

 

TAGS