Umno perlu belajar daripada PH, kata KP Umno

Umno perlu belajar daripada PH, kata KP Umno

Mas Ermieyati

Ketua Puterinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata parti yang memerintah Malaysia selama lebih 61 tahun perlu mengambil sisi positif daripada kemenangan PH yang kini memerintah negara.

“Harus lihat bagaimana pembangkang dulu (PH), laluan mereka untuk berada di kedudukan mereka hari ini sangat sukar.

“Kita ambil daripada sudut positif untuk menjadi pembangkang yang baik dan berkesan, membawa kestabilan kepada apa saja yang dilakukan kerajaan hari ini,” katanya seperti dilapor Malaysiakini hari ini.

Selanjutnya, beliau berkata anggota parti perlu segera bangkit menerima kekalahan dan sedia untuk berkhidmat dalam keadaan sukar.

“Kepimpinan dan ahli perlu segera berubah, harus bersedia menerima kekalahan, berlapang dada dan bangkit…dan sedia untuk bekerja dalam keadaan yang tidak senang.

Beliau yang merupakan ahli Parlimen Masjid Tanah merupakan salah seorang dari calon Umno yang menang pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) minggu lalu.

Mengulas mengenai pemilihan Umno pada Jun ini, beliau berkata parti tersebut perlu mengutamakan penyatuan semula berbanding perkara lain.

“Hal paling penting adalah penyatuan parti, perlu dilakukan sekarang. Perkara lain boleh dilaksanakan kemudian,” katanya yang turut berkata UMNO akan memilih pemimpin baru yang berwibawa dan mempunyai rekod baik bila tiba masanya nanti.