Umno perlu berubah jika mahu kekal, minta maaf kerana kelalaian, kata Tengku Razaleigh

Umno perlu berubah jika mahu kekal, minta maaf kerana kelalaian, kata Tengku Razaleigh

Perlu ada ‘reform’ dalam Umno sekiranya ingin terus kekal menjadi parti utama kepada orang Melayu  dan adalah lebih baik bagi Umno di peringkat cawangan, bahagian dan perhubungan meminta maaf kepada rakyat kerana  lalai untuk melaksanakan tanggungjawab yang telah diberikan, kata calon Presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau berkata,, sekiranya dapat mempengaruhi Majlis Tertinggi melalui konsensus, maka permohonan maaf akan dipinta dari seluruh rakyat.

“Rakyat telah menolak Umno dan BN dalam pilihan raya umum yang lalu walaupun berjaya menang hanya di Perlis dan Pahang.

“Mereka menolak kerana kita lalai dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan.

“Suara mereka dibawah harus didengari dan diberi perhatian kerana ia adalah mesej yang amat jelas, ” tegasnya ketika bertemu perwakilan Umno di Seberang Jaya hari ini.

Menurut beliau lagi, tidak harus ada rasa malu untuk memohon maaf kepada rakyat kerana ia merupakan budaya Melayu, Malaysia dan juga Asean.

“Kita disini adalah untuk menjadi hamba rakyat.

“Kekalahan yang lalu sepatutnya menjadi iktibar serta satu titik tolak untuk membuat perubahan.

“Sekiranya mahu Umno hidup kembali maka perlu ada reformasi yang dibuat dari semua aspek termasuklah mendengar suara akar umbi, ” jelasnya lagi.

Tengku Razaleigh Hamzah (dua dari kanan) ketika hadir bertemu perwakilan Umno di Seberang Prai hari ini .

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Gua Musang turut berkata, kesilapan yang telah dibuat oleh pemimpin Umno sehingga tewas dalam pilihan raya umum yang lalu harus menjadi sempadan.

“Jangan diulangi sekali lagi kesilapan yang telah dibuat oleh pimpinan terdahulu sehingga rakyat menolak Umno dan BN sebegitu rupa.

“Perubahan dan peluang kepada pimpinan muda mesti dibuka luas sebagai kesinambungan perjuangan.

“Umno masih relevan untuk terus memberi pembelaan kepada orang Melayu dan juga rakyat pelbagai bangsa dalam negara ini, ” tambahnya lagi.

Beliau juga mengingatkan semua pimpinan Umno supaya memberi keutamaan dalam membela nasib rakyat dari mengutamakan kepentingan peribadi dan golongan tertentu.

Hadir sama dalam program tersebut ialah Setiausaha Umno Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir, Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Datuk Zaidi Said serta kepimpinan pemuda, wanita dan bahagian seluruh Pulau Pinang.

5.5
OVERALL SCORE
: 9.0
1 user vote x 2.0
CATEGORIES
TAGS