Malaysia Dateline

Umno perlu bina Invoke sendiri, pengundi sekarang susah ‘dibaca’

Naib Ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan mencadangkan agar parti tulang belakang Barisan Nasional (BN) itu menubuhkan kumpulan Invoke sendiri untuk membuat kajian mengenai pengundi.

Beliau memperincikan cadangan itu dengan menyarankan Umno membina satu Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) ataupun kajian yang bukan bersifat sekadar tangkap muat.

Invoke adalah satu firma penganalisis yang mengumpul data pengundi menggunakan data daftar pemilih dalam pilihan raya serta tinjauan telefon.

Bekas Ketua Penerangan Umno itu melihat bahawa situasi ketika ini sudah berubah di mana sokongan pengundi semakin sukar ‘dibaca’.

“Gelombang pengundi ini, sama ada dia sokong atau tolak sudah tidak boleh dibaca, mereka hanya berdiam.

“Umno kalau mahu jadi parti kelas pertama lagi perlu ada intel kelas pertama dengan jabatan kajian untuk tangkap gelombang senyap ini,” katanya dalam satu video pendek yang dimuat naik di Twitter semalam.

Invoke diasakan oleh Rafizi Ramli

Shahril juga menambah bahawa dengan kajian dan jabatan intel yang hebat ini, mudah untuk mengetahui naratif apa yang perlu dimainkan dalam media.

Menurutnya, walaupun di pihak Umno mempunyai banyak media sosial tetapi tidak menggunakan naratif yang sama, ia tetap boleh menyebabkan pergaduhan sesama sendiri.

Bekas calon Ahli Parlimen Alor Gajah itu pada masa sama melihat ramai ahli Umno yang merasakan kehebatan Invoke, maka tidak salah untuk turut menubuhkannya.

“Saya tidak tahu sepenuhnya apa yang Invoke buat selama ini, boleh tanyalah menteri sekarang.

“Tapi dah tentunya kena buat banyak tinjauan, panggilan dan kajian mengenai kumpulan sasaran untuk memahami sentimen nasional yang sebenarnya,” kata Shahril lagi.

Invoke Solutions Sdn Bhd merupakan firma analisis data yang diasaskan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli yang kini Menteri Ekonomi.

Bulan lalu, Ahli Parlimen Pandan itu dilapor menyatakan bahawa Invoke mempunyai 150 pekerja yang terdiri daripada anak muda berkelulusan tinggi.

Baca juga “Bye bye, Zuraida Kamaruddin”