Malaysia Dateline

Umno perlu henti sebarkan berita palsu dan tidak sahih

Pimpinan Umno seharusnya perlu berhenti dari terus menyebarkan berita palsu yang ternyata akan memberi impak yang negatif kepada masyarakat.

Demikian disarankan oleh Ketua Armada Bersatu Pulau Pinang, Shameer Sulaiman.

Jelasnya, Armada menyelar tindakan Naib Ketua Puteri Umno, Nurul Amal Mohd Fauzi yang mengeluarkan kenyataan palsu dan berbaur perkauman dalam kes kematian di sebuah kilang di Bayan Lepas.

“Pimpinan Umno sepatutnya hentikan serta-merta penyebaran berita palsu sebegini rupa yang akan memberi impak yang amat buruk kepada masyarakat.

“Biarlah pihak polis melaksanakan siasatan yang telus dan jelas tentang perkara ini sebelum sebarang dakwaan dibuat.

“Janganlah kita menjadi lebih sudu dari kuah kerana apa yang berlaku sewajarnya diambil iktibar dan pengajaran dan bukannya memanipulasikan berita demi untuk meraih kepentingan dan dokongan, ” ujarnya.

Menurut Shameer lagi, Armada amat berharap pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap Ketua Puteri Umno tersebut dan sesiapa sahaja yang menyampaikan berita palsu dengan niat tidak baik bagi menimbulkan isu perkauman dan ketegangan antara masyarakat.

Sehubungan itu katanya, ketegasan pihak berkuasa dalam isu ini amat diharapkan kerana ia mampu untuk menyekat dan menghalang wujudnya konflik yang berterusan dikalangan masyarakat.

Sebelum ini Nurul Amal menyifatkan kematian seorang penyerang berparang yang mengamuk di sebuah kilang di Bayan Lepas setelah menetak dan menyerang penyelia wanita serta pengurus keselamatan sebagai mati syahid.

Beliau telah menyifatkan kematian syahid tersebut berlaku setelah suspek mengamuk kerana marah terhadap dua individu yang didakwa menghina Naib Muhammad S.A.W.