Umno perlu jadi pembangkang yang konstruktif

Umno perlu jadi pembangkang yang konstruktif

Naib Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, Umno melakukan kesilapan besar kerana masih mengekalkan orang lama dalam perlantikan kepimpinan.

Ujarnya, orang-orang lama seperti Ahmad Zahid Hamidi, Mohamad Hassan dan lain-lain adalah kepimpinan lama yang memimpin Umno dahulu yang mana telah jelas ditolak rakyat pada PRU14

“Mengekalkan mereka bermakna mengekalkan pemimpin yang ditolak oleh rakyat akan kepimpinannya. Walaupun sebahagian dari mereka menang pada PRU14 tetapi hakikatnya kepimpinan mereka ditolak oleh rakyat sebab itu Umno-BN kalah teruk.

“Pengekalan kepimpinan lama ini juga memggambarkan bahawa Umno tidak mahu berubah dan tidak akan berubah kerana orang lama ini sudah pasti akan mengekalkan stail dan cara kepimpinan lama yang tidak pernah mengakui kesilapan dan kelemahan mereka.

“Budaya lama seperti budaya politik wang, rasuah, sombong, bermewah-mewah dan sebagainya sudah pasti sedikit sebanyak akan ada disebabkan orang-orang lama dikekalkan,” kata beliau dalam kenyataan medianya hari ini.

Kata Sofi, Umno sebenarnya tidak mahu belajar daripada kesilapan. Kepimpinan yang baru dilantik ini sepatutnya berundur secara terhormat dan memberi laluan kepada kepimpinan baru yang tidak terpalit dengan isu-isu kontroversi yang menyebabkan rakyat menolak Umno-BN pada PRU14 baru-baru ini.

“Mana mungkin rakyat dapat melupakan sejarah hitam 60 tahun keperitan di bawah pemerintahan Umno-BN jika mereka masih melihat muka-muka lama ini masih berdiri megah di pentas kepimpinan Umno pasca PRU14 ini.

“Oleh kerana itu saya secara peribadi mengingatkan Umno supaya berani berubah dan berani bertindak untuk merehatkan kepimpinan lama ini.

“Cara terbaiklah ialah pemimpin-pemimpin ini sendiri meletakkan jawatan atau ahli-ahli sendiri membuat undi tidak percaya dengan mendesak diadakan Persidangan Agung Khas,” kata Timbalan Pengerusi AMANAH Melaka itu.

Katanya lagi, beliau sebagai anggota parti kerajaan iaitu PH sebenarnya mahukan pembangkang yang kuat dan telus bagi menegur dan menasihat kerajaan yang ada pada hari ini.

Tambahnya, pembangkang yang disegani dan dihormati oleh rakyat sudah pasti dapat memainkan peranan penting dalam sistem demokrasi bagi membina negara ke arah yang lebih baik.

“Umno boleh memainkan peranan ini jika mereka benar-benar berubah dan mahu berubah,” katanya.

7.0
OVERALL SCORE
: 7.0
Have no any user vote