Malaysia Dateline

Umno perlu jajaran baru dengan rakan baru, kata Khir Toyo

Umno sebagai sebuah parti yang berpengalaman sepatutnya memulakan usaha untuk membina jajaran baru dengan parti-parti yang mempunyai kerusi parlimen terbanyak, demikian menurut Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo.

Khir berkata Umno melakukan kesilapan besar apabila membentuk kerajaan dengan parti-parti kecil bilangan di Parlimen seperti Bersatu, Pas dan kumpulan yang lompat parti.

“Apa pun rakyat tetap menyalahkan Umno kerana tanpa Umno kerajaan yang sangat lemah ini tidak terbentuk,” katanya menerusi facebook hari ini.

Namun, katanya hari ini Umno seperti ‘hidung tak mancung pipi tersorong-sorong’ di dalam Perikatan Nasional apabila Umno dilihat terlebih meminta.

“Maruah Umno sudah hilang jangan pula harga perjuangan yang bersisa ini kita gadaikan.

“Lebih mulia untuk Umno membina jajaran politik baru dari dihina dan dianggap hidung tak mancun pipi pula yang kita sorong.

“Walaupun kita mungkin disalah erti kerana bergabung dengan musuh tradisi tetapi kita masih punya harga diri,” tegas beliau.

Justeru katanya, kerajaan baru melalui pembentukan jajaran baru ini ternyata stabil dan berjaya membawa negara keluar dari situasi yang sangat mendesak dan bahaya ini.

Realiti politik hari ini, beliau menyifatkan kerajaan Perikatan Nasional sebuah kerajaan yang sangat lemah dan keadaan ini sebenarnya tidak memberi sebarang kebaikan pada masa depan negara.

“Pelabur dan pengusaha dari luar tidak mungkin merasa yakin dengan situasi politik dalam negara yang membolehkan mereka untuk membuat pelaburan dalam negara.

“Sumber kewangan dalam negara sangat terhad dan dalam situasi kritikal sekarang sumber itu telah dan akan digunakan untuk perkara mendesak seperti pencegahan Covid-19 dan mencegah rakyat dari mengharungi kelaparan.

“Kerajaan yang memimpin negara ini mesti kuat dan dapat keyakinan dari pelabur-pelabur luar,” katanya.

Bagaimananapun, Khir yakin dan percaya jika PRU15 diadakan dalam waktu terdekat dengan situasi politik yang sangat tidak setabil ini, PRU ini akan menghasilkan keputusan yang sama seperti PRU lepas.

“Tidak ada parti yang menang besar dan mampu tubuh kerajaan baru tanpa berkongsi kuasa dengan parti-parti lain.

“PRU itu tidak akan selesaikan masalah kepimpinan, dan kerajaan yang dibentuk sama saja seperti yang ada hari ini.

“Sebenarnya negara kita memerlukan kerajaan baru yang kuat stabil dan inklusif sifatnya,” ujar beliau.