Umno perlu lihat diri sendiri apa yang dilakukannya pada Melayu Pulau Pinang

Umno perlu lihat diri sendiri apa yang dilakukannya pada Melayu Pulau Pinang

Kepimpinan Umno Negeri dan Datuk Seri Dr. Muhamad Farid Saad (Ahli Dewan Undangan Negeri, Adun Pulau Betong) digesa tampil menunjukkan bukti apakah usaha yang dilakukan dua agensi negeri di bawah Kerajaan Persekutuan dalam meningkatkan aset pemilikan Melayu Pulau Pinang sejak dahulu.

Gesaan tersebut dibuat Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin (gambar atas) sebagai respons kepada laporan muka hadapan akhbar Berita Harian semalam yang bertajuk ‘Melayu Pulau Pinang terus terpinggir’.

Soalnya, berapa banyakah tanah dan aset Melayu Pulau Pinang telah dijual semenjak penubuhan Lembaga Pembangunan Wilayah Pulau Pinang (Perda) di bawah kepimpinan Umno.

“Bolehkah mereka tunjukkan bukti kepada Kerajaan Negeri mana aset (Perda) dan adakah pemilikan aset (Melayu) ini bertambah.

“Tetapi, sebagaimana yang ramai maklum, isu penjualan sebidang tanah oleh Perda di bawah harga pasaran di Daerah Seberang Perai Selatan pun masih belum terjawab.

“Juga status JKP (JKP. Sdn. Bhd) dan Yayasan Bumiputera Pulau Pinang, di manakah Pengurus Besar JKP sekarang, apa yang jadi kepada projek-projek JKP yang seharusnya fokus kepada pembangunan dan juga peningkatan aset pemilikan Bumiputera di negeri ini,” soal beliau satu sidang media seperti yang dilaporkan dalam Facebook Ketua Menteri.

Mengulas lanjut, Afif memberitahu, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang kini fokus membantu semua golongan tidak kira Melayu, Cina atau India selagi rakyat masih memerlukan terutamanya dalam hal-hal pemilikan rumah.

“Disebabkan itulah, kita (Kerajaan Negeri) memfokuskan kepada pembangunan rumah mampu milik (RMM) dan juga rumah-rumah rakyat untuk warga negeri tidak mengikut daerah.

“Malah, kita juga gunakan tabung untuk kuota Bumiputera bagi membangunkan satu unit blok RMM di S.P. Chelliah yang dikhaskan untuk golongan Bumiputera sahaja.

“Kita nak tanya Farid, sewaktu pemerintahan Umno dahulu, ke manakah perginya wang sumbangan tabung Bumiputera ini,” soalnya.

Dalam sidang media sama, Abdul Malik turut menyatakan nada serupa, katanya Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu melihat diri sendiri terlebih dahulu sebelum menyoal kedudukan golongan Bumiputera di negeri ini.

“Island College of Technology (ICT), iaitu sebuah kolej dan syarikat yang diperbadankan oleh Kementerian Kewangan yang ditubuhkan pada tahun 1998 telah ditutup 11 September 2017 disebabkan sejumlah hutang RM376,557.64 kepada Perbadanan Kemajuan Kraftangan iaitu milik Kementerian Pelancongan.

“Bangunan tersebut telah disita atas perintah mahkamah hinggakan pelajar-pelajar di sana tidak dapat memasuki dan meneruskan pengajian masing-masing.

“Justeru, jangan disoal apa yang telah Kerajaan Negeri buat selama 10 tahun, tetapi apa yang Umno dan BN buat sehingga terjadi perkara sebegini,” jelasnya.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote
CATEGORIES