Umno perlu muhasabah dan bina kekuatan bukan cari naungan Pas, PH, kata MPT Bersatu

Umno perlu muhasabah dan bina kekuatan bukan cari naungan Pas, PH, kata MPT Bersatu

Pemimpin Umno disaran agar membina semula kekuatan parti berbanding mencari ‘naungan’ di bawah Pas atau parti gabungan dalam Pakatan Harapan (PH) yang memungkinkan Umno menuju kejatuhan seperti dibayangkan  Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Biro Strategi dan Dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Rais Hussin  berkata, Umno sebagai sebuah parti ditubuhkan tujuh dekad itu hanya menjadi pembangkang selepas Pilihan Raya Umum ke-14, perlu bermuhasabah bagi menentukan hala tuju Umno di masa depan.

” Pemimpin Umno perlu bermuhasabah diri sendiri dan bina semula kekuatan parti daripada dalam.

“Jika mereka mencari ‘naungan’ saya khuatiri Umno bukan sahaja akan jatuh tetapi boleh terkubur jika berhasrat mengadakan kerjasama dengan Pas atau mana-mana parti dalam Pakatan Harapan,” ujarnya kepada Malaysia Dateline ketika ditemui pada hari penamaan calon di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson pada Sabtu.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad membayangkan parti Umno sebagai tulang belakang kepada BN akan berhadapan satu kejatuhan ketika berucap pada mesyuarat dengan anggota Majlis Mengenai Hubungan Luar Amerika Syarikat di New York pada Rabu lepas.

Ini kerana Pengerusi Bersatu itu melihat kepada ramai anggota parti mengambil keputusan meninggalkan Umno kerana mereka tidak lagi rasa takut kepada bekas Presiden parti yang juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Dr Rais yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu berkata, jika perkara itu berlaku mengambarkan Umno sangat terdesak sehingga sanggup terfikir untuk menjalinkan kerjasama dengan Pas ataupun parti dalam PH.

Justeru beliau menyarankan agar satu ‘postmortem’ wajar dilakukan oleh Umno untuk kenalpasti kepincangan yang kini berlaku dalam parti itu.

” Boleh buat ‘postmortem’ secara formal dan bebas dalam umno untuk menentukan kembali hala tuju Umno dalam politik masa kini.

“Bukan ambil cara mudah jalin kerjasama dengan Pas atau Pakatan Harapan.

“Tidak usahlah kalut untuk mendapatkan naungan. Adakah ide kerjasama politik semata-mata atau untuk memberikan naungan kepada individu tertentu melindungi daripada pendakwaan yang akan mengheret semua yang terbabit. Ini satu ketidakadilan kepada parti (keluar parti),” ujarnya.

Beliau merujuk kepada beberapa pemimpin Umno yang kini diseret ke mahkamah selepas kerajaan Pakatan Harapan memerintah atas pelbagai dakwaan membabitkan rasuah dan salah guna kuasa pemimpin parti itu.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS