Malaysia Dateline

Umno perlu tanggungjawab jika PRN Melaka jejas kesihatan awam, kata PKR

Umno harus bertanggungjawab jika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menjejaskan kesihatan orang ramai kerana keputusan melaksanakan pilihan raya dalam waktu pandemik Covid-19 ini meletakkan rakyat dalam risiko jangkitan.

Bahkan kata Ahli Majlis Pimpinan Wanita Pusat PKR, Ginie Lim, pembubaran DUN Melaka itu dibuat tanpa perbincangan.

“Pembubaran DUN Melaka yang diumumkan oleh Speaker DUN, Datuk Seri Abdul Rauf Yusoh agar diadakan pilihan raya di peringkat negeri, adalah satu keputusan yang dibuat secara unilateral.

“(Keputusan dibuat) tanpa berbincang dengan semua pihak dan bertentangan dengan semangat muafakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun kata Ginie Lim yang juga Adun Machap Jaya, mereka menerima cabaran tersebut bagi mengembalikan semula mandat rakyat yang dirampas selepas PRU-14

Ini katanya, merupakan satu peluang untuk rakyat Melaka bersuara dan memberi mesej yang jelas kepada pimpinan politik baik peringkat negeri mahupun nasional tentang hala tuju negara.

“Selepas berkhidmat 3 tahun sebagai Ahli Undangan Dewan, saya ucapkan terima kasih kepada semua warga Machap Jaya, penyokong dan anggota parti yang telah memberi kerjasama dan peluang untuk saya berkhidmat selama 40 bulan.

“Saya akan terus pertahankan DUN Machap Jaya agar kemenangan kembali kepada Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini .