Malaysia Dateline

Umno, PN beranikanlah diri untuk berdebat

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abd Samad ‘memberi semangat’ kepada Umno dan Perikatan Nasional (PN) untuk berdebat bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menurutnya, debat melibatkan calon Ketua Menteri Melaka dengan Adly Zahari dari Pakatan Harapan (PH) membolehkan rakyat untuk membuat pilihan tepat, 20 November depan.

“Mengapa Umno tidak sanggup (berdebat)? Kerana calon Ketua Menteri Umno adalah Sulaiman tapi orang yang menentukan (keputusan parti) adalah Rauf.

“Kalau Sulaiman datang untuk berdebat, dia nak cakap apa? Dia tidak tahu apa-apa kerana semua perancangan dilakukan oleh Rauf.

“Soal nak jual tanah, pasir dan apa-apa yang hendak dilakukan semuanya Rauf yang tentukan. Sulaiman tidak beranilah nak turun (berdebat).

“Umno, PN beranikan diri. Kita mahu lihat kamu berhadapan dengan rakyat dalam satu platform debat,” kata Khalid.

Beliau menambah Adly yang juga calon PH bagi DUN Bukit Katil bila-bila masa bersedia untuk berdebat dengan calon Ketua Menteri dari BN dan PN.

“Bagi PH, Adly Zahari sudah bersedia. Bila-bila masa. Beritahu saja di mana? Bila?” ujarnya lagi.

Pada 10 November lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa berkata kerajaan bersedia menimbang untuk memberi ruang kepada calon PRN Melaka termasuk dari pembangkang untuk berkempen menerusi saluran televisyen dan radio rasmi kerajaan.

Dalam masa sama, Sinar Harian turut menawarkan debat menerusi Program Berani Semuka sehari sebelum pembuangan undi.

Selain itu, platform advokasi dasar dalam talian, Dialektika TV turut menawarkan ruang kepada calon Ketua Menteri Melaka daripada pelbagai parti untuk berdebat sesama sendiri.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sayed Munawar Sayed Mohd. Mustar berkata, pihaknya mencadangkan program itu pada 18 November bermula pukul 9.30 malam.

Walau bagaimanapun, Ketua Menteri sementara Melaka, Sulaiman Md Ali menolak cadangan Pengerusi PH, Anwar Ibrahim agar debat diadakan antara calon ketua menteri daripada tiga gabungan utama yang bertanding dalam PRN Melaka.

Sulaiman, yang dinamakan BN sebagai calon Ketua Menteri jika gabungan itu memenangi PRN Melaka, dilapor lebih berminat untuk memberi tumpuan kepada kempen PRN.