Malaysia Dateline

Umno pula gesa tubuh RCI siasat dakwaan Hamid Bador

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menggesa satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat segala dakwaan terbuka yang dibuat oleh Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador semalam.

Katanya, RCI perlu ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan tersebut kerana PDRM adalah agensi penguatkuasa paling penting dan kritikal untuk negara.

“TS Hamid Bador membuat dakwaan terbuka. Dia tuduh Hamzah Zainuddin campur tangan kenaikan pangkat dan pertukaran pegawai yang bermasalah.

“Dia juga buat banyak tuduhan lain. Termasuk isu katak yang dikaitkan dengan rasuah.

“Hamzah Zainuddin pula tidak menafikan audio mirip suara beliau adalah tulen. Isu pokok yang perlu diselesaikan ialah tuduhan IGP dan butiran dalam audio tersebut,” kata beliau menerusi Facebooknya.

Puad juga berkata, siasatan itu mesti didokong kuat oleh pegawai yang profesional dan berintegriti barulah keadilan dan keselamatan terjamin.

Bagaimanapun, Hamid Bador yang mendakwa Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang dipengerusikan Hamzah dicemari oleh unsur politik, maka kredibiliti PDRM turut tercemar.

“Apa maksud Hamid Bador, “Bahaya sekarang ini. Dia (Hamzah) bawa mesin pengorek buat jalan baru ke?”
Apa yang bahaya? Segerakan RCI. Segerakan sidang parlimen,” desak beliau.

Semalam, Hamid Bador mendedahkan wujudnya kepincangan apabila Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin, menyalahgunakan kedudukannya untuk campurtangan dalam urusan polis.di dalam pasukan PDRM.

Hamid juga membayangkan SPP yang dipengerusikan Hamzah dicemari “unsur politik”.

Sebelum itu, Hamzah mengumumkan Hamid akan bersara 3 Mei sebagai Ketua Polis Negara dan jawatan itu akan diambil alih oleh timbalannya, Acryl Sani Abdullah Sani.