Malaysia Dateline

Umno pun tidak boleh pertimbangkan tawaran Mahiaddin

Umno mengucapkan penghargaan atas pengakuan Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Mahiaddin Md Yassin yang akhirnya secara terbuka bahawa beliau sudah tidak lagi mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Dengan pengakuan ini, menurut Presiden Umno Datuk Ahmad Zahid Hamidi Mahiaddin sudah tiada lagi keabsahan untuk menjalankan tugas-tugas selaku Perdana Menteri yang sah sebagaimana Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.

Selaku Ahli Parlimen yang berpegang kepada sumpah jawatan untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan, Zahid berkata Mahiaddin tidak wajar merampas kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam menentukan urusan pelantikan Perdana Menteri.

“Umno tidak boleh mempertimbangkan segala tawaran daripada seorang yang sudah tiada keabsahan, apatah lagi bersifat sogokan terbuka dan terdesak hanya untuk memanjangkan hayat politiknya.

Umno menasihatkan agar rakyat dapat bertenang sehingga YDPA melaksanakan tugas dan tanggungjawab Perlembagaan baginda di bawah Perkara 40(2) untuk melantik seorang Perdana Menteri baharu dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat.

Umno merakamkan penghargaan setingginya kepada 15 Ahli Parlimen parti itu yang setia dan istiqamah mempertahankan pendirian parti untuk terus membela Institusi Raja dan Perlembagaan Negara.