Malaysia Dateline

Umno putus beri notis 14 hari panggil sidang Parlimen

Umno memutuskan akan memberi notis 14 hari kepada kerajaan untuk memanggil sidang parlimen dalam satu mesyuarat yang diadakan malam tadi.

Bagaimanapun, Umno akan mengadakan mesyuarat sekali lagi jika selepas tempoh 14 hari masih tidak ada sidang Parlimen.

Dalam masa yang sama Biro Politik yang dipengerusikan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi juga memutuskan darurat mesti ditamatkan pada 1 Ogos 2021 nanti.

Walaupun terdapat perubahan dan penafian mengenai mesyuarat biro politik malam tadi, namun salah seorang pemimpin Umno mengesahkan berlaku mesyuarat secara maya dan keputusan mesyuarat.

Terdapat juga pemimpin kanan Umno yang menyata kurang bersetuju dan mahukan diadakan perbincangan dalam MKT Umno terlebih dahulu. Mesyuarat bersetuju meneruskan notis 14 hari, lapor Suara TV.

Pemimpin tersebut juga mengesahkan notis mesyuarat bertukar sebanyak tiga kali.

“Notis pertama menjemput mesyuarat secara bersemuka pada jam 3 petang, tetapi kemudian ditukar kepada 8 malam. Akhirnya notis ketiga memaklumkan mesyuarat secara maya sahaja.”

Sementara itu seorang ahli MKT yang dihubungi berkata jika benar ia keputusan malam ini walaupun sebulat suara ia bukanlah keputusan rasmi parti.

“Saya tidak ada dalam mesyuarat. Namun jika benar hanya ada dua entiti boleh membuat keputusan parti iaitu Majlis Kerja Tertinggi Umno dan Perhimpunan Agung Umno. Dalam konteks ini keputusan biro politik perlu dibawa kepada MKT Umno terlebih dahulu.”

Ditanya sama ada MKT Umno akan menyokong pendirian ini, Ahli MKT tersebut menjawab, “Kita tunggu dan lihat. Berbanding biro politik yang dipenuhi orang Presiden, MKT mungkin mempunyai pandangan berbeza.”