Malaysia Dateline

Umno Sabah: Bersatu sedang berbincang dengan PH

Ketua Dasar dan Strategi Bersatu, Datuk Rais Hussin Mohamed Arif berkata pihaknya kini sedang berbincang dengan parti pro kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Sabah sebelum mengumumkan sebarang keputusan.

“Kita bagi sedikit waktu untuk pucuk pimpinan membuat keputusan, ada lagi beberapa fasa yang perlu kita lihat, kita akan maklum sejurus keputusan dibuat dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui pemberita di Kuala Lumpur semalam.

Pada Rabu, hampir kesemua anggota jawatankuasa badan perhubungan UMNO negeri Sabah termasuk pengerusinya Datuk Seri Hajiji Mohd Noor mengumumkan keluar parti.

Semua ketua bahagian kecuali Tenom, Kalabakan, Sepanggar dan Kinabatangan turut mengumumkan keluar parti.

Ditanya mengenai pandangan beberapa pemimpin PH yang tidak bersetuju dengan langkah mengambil bekas pemimpin UMNO ke dalam Bersatu, Rais berkata beliau menghormati pandangan tersebut.

“PH raikan diversiti dalam memberikan pandangan, ini demokrasi. Kami raikan perbezaan ini, akhirnya sebarang keputusan yang kita ambil adalah bagi menguatkan lagi PH,” katanya.